Saturday, April 30, 2011

Haramkan filem seram

Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) hari ini meminta pihak berkuasa supaya mengharam dan menghentikan kebenaran bagi penyiaran filem seram dan hantu yang kini kerap diterbitkan syarikat produksi filem tempatan.

Ketua Umumnya, Dr. Mohammad Nawar Ariffin berkata kebanjiran filem seram dilihat menjadi-menjadi ketika ini dengan jumlahnya mengatasi jumlah filem yang diterbitkan ketika era kegemilangan filem Melayu pada tahun 60-an dahulu.

Menurut beliau, Pemuda Masjid bimbang fenomena penerbitan filem jenis itu hanya akan memundurkan orang Melayu yang merupakan 95 peratus daripada penggemar dan penonton filem sedemikian.

"Adalah malang filem dan drama seram serta hantu ini dijadikan sogokan kepada penggemar filem dan drama Melayu kerana ia tidak langsung boleh membantu dalam membangun jiwa dan intelek masyarakat kita.

"Orang Melayu beragama Islam kini terancam akidah mereka akibat menonton aksi tahyul dan syirik yang sering dipaparkan sehingga semakin ramai terjebak dengan aktiviti kurafat dan mungkar

By hAng keBun with No comments

Friday, April 29, 2011

Buah kaya nutrisi

BUAH avokado jarang sekali dimakan sebagai menu pencuci mulut oleh masyarakat setempat. Sedangkan hakikatnya, avokado merupakan antara buah terbaik yang tersenarai antara beberapa jenis buah-buahan yang lemaknya terdiri daripada jenis lemak tidak tepu seperti buah zaitun dan kacang tanah.

Tetapi kini, banyak pendedahan mengenai nutrisi dan khasiat yang terkandung di dalamnya menyebabkan buah avokado menerima populariti yang semakin tinggi.

Menurut Pakar Hortikultur dari Queensland, Jodie Campbell selain daripada produk kecantikan, buah avokado juga sangat sesuai dimasukkan dalam pelbagai jenis hidangan masakan Barat mahupun Asia.

“Hanya dengan sedikit tambahan, ia mampu memberi kita manfaat kesihatan harian yang sangat diperlukan oleh badan. Buah avokado juga mengandungi lemak tidak tepu yang membantu mengekalkan berat badan seimbang selain mempunyai kandungan gula dan garam yang rendah.

“Ia juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B termasuk B6, niasin dan riboflavin, C dan E. Malah, ia juga mengandungi mineral seperti zat besi, magnesium dan kalium selain diperkaya dengan fiber dan folat. Namun, ia bebas sodium dan kolesterol,” katanya yang hadir untuk mempromosikan buah tersebut di Berjaya University College of Hospitality (BUCH) untuk sebuah program latihan A Taste of Australian Avocados baru-baru ini.

Program interaktif itu dianjurkan oleh Euro-Atlantic Sdn. Bhd. yang merupakan pengimport buah-buahan, sayuran dan beberapa jenis makanan laut yang segar dan beku. Program itu dihadiri lebih 100 peserta daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk dari hipermarket, supermarket dan peruncit.

Selain menceritakan khasiat buah tersebut, Campbell yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang nutrisi buah avokado, turut berkongsi pelbagai topik berkaitan buah avokado termasuk cara yang betul untuk memegang buah tersebut, proses penghantaran dan bekalan. Tidak ketinggalan beliau memberi tip mengenai cara pemasaran buah berkenaan.

“Selalunya apabila kita membeli buah kita akan picit di bahagian tengah-tengah, tetapi disebabkan buah avokado mempunyai tekstur yang lembut, cara yang betul ialah dengan hanya menggenggam sedikit sahaja,” kata Campbell yang turut memberitahu tekstur avokado masak yang lembik sesuai dijadikan makanan pertama bayi.

Katanya, kandungan lemak mono tidak tepu dalam avokado penting untuk tumbesaran bayi. Hanya dengan melecek isinya, tersedia satu jenis hidangan bayi yang berkhasiat.

Dalam pada itu, seorang chef, Malcolm Goh turut mendemontrasi cara mudah menyediakan menu sihat iaitu Avocado Zimbabwe.

Tambah Campbell, pihaknya kini banyak mempromosikan kebaikan buah avokado kepada orang ramai kerana ramai yang kurang faham mengenai buah tersebut.

“Buah avokado juga boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol dan baik untuk hati manakala kandungan vitamin E nya bagus untuk kulit,” katanya.

Sementara itu Penolong Pembekal Luar Negara Euro-Atlantic, Su’aidah Ahmad berkata, pihaknya memilih untuk mempromosikan buah avokado dari Australia atas permintaan tinggi pelanggan.

“Kami dapati pelanggan lebih gemar memilih avokado Australia berbanding Mexico dan Sepanyol kerana kualiti dan rasa.

By hAng keBun with 2 comments

Thursday, April 28, 2011

Serangan siber terus meningkat



Laporan Ancaman Keselamatan Internet Jilid 16 Symantec Corp. (Symantec) bagi tahun lalu menunjukkan ancaman baharu besar-besaran berjumlah lebih 286 juta di seluruh dunia.

Ini termasuk kes kecurian harta intelek, memancing data dan serangan malware beserta dengan beberapa perubahan besar-besaran dalam landskap ancaman siber.

Naib Presiden Symantec bagi Rantau Asia Selatan, Eric Hoh berkata, bilangan ini akan terus meningkat.

"Ini akan mendorong penjenayah siber memperhalusi teknik serangan mereka untuk mencuri data-data dan harta intelek berharga, yang boleh mereka jual pada harga lumayan dalam ekonomi gelap," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan hasil laporan itu di sini semalam.

Tahun lalu, terdapat beberapa bentuk serangan yang menyasarkan syarikat dagangan awam, badan-badan korporat multinasional dan agensi kerajaan, di samping beberapa syarikat kecil.

Laporan itu juga menarik perhatian kepada pertumbuhan berterusan laman rangkaian sosial sebagai platform tebaran serangan.

"Kebanyakannya menyerang individu bagi mendapatkan maklumat peribadi mereka, manakala serangan sasaran berprofil tinggi, cuba untuk mencuri harta intelek atau menyebabkan kerosakan fizikal.

"Satu daripada teknik serangan utama yang digunakan di laman-laman rangkaian sosial melibatkan penggunaan pelokasi sumber seragam (URL)," katanya.

Tahun lalu ujarnya, penyerang memuatkan berjuta-juta pautan URL ini di laman rangkaian sosial untuk memperdaya mangsa agar terjebak dengan serangan memancing data dan malware ini, sekali gus meningkatkan kadar jangkitan.

"Pengguna dan perniagaan di Malaysia perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi dan menguruskan maklumat mereka daripada risiko keselamatan yang amat banyak ekoran percambahan peranti mudah alih dan perangkaian sosial," tegas Hoh. - Bernama

By hAng keBun with No comments

Wednesday, April 27, 2011

Syarikat kawalan keselamatan boleh gulung tikar macam nie


Lebih 500 syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan didakwa bakal gulung tikar sekiranya kerajaan tetap bertegas untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang gagal membayar gaji minimum kepada pekerja mereka.

Lebih teruk tindakan itu juga didakwa bakal mengakibatkan kira–kira 150,000 pengawal keselamatan yang kini berkhidmat dibawah syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan akan hilang pekerjaan masing-masing apabila syarikat terbabit terpaksa ditutup.

Dakwaan itu dibuat Setiausaha Akhbar Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), M. Nagoor Has han Sahiboo pada Kursus Keselamatan Pengawal Keselamatan di Sekolah Kebangsaan Pelagat semalam.

M. Nagoor mendakwa, perkara itu berlaku kerana kadar bayaran perkhidmatan yang disediakan untuk syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan masih di paras lama tetapi tangga gaji minimum pula telah ditetapkan.

Menurutnya, Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang dikuatkuasakan sejak 15 Februari lalu menetapkan pihak syarikat perlu membayar gaji bulanan pekerja antara RM1,200 hingga RM1,500.

“Tetapi hingga kini pihak kerajaan mahupun swasta belum bersedia memenuhi permintaan PPKKM supaya nilai kontrak bagi membekalkan pengawal keselamatan dinaikkan,” dakwanya.

M.Nagoor mendakwa, syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan terbabit tidak mampu menaggung kos gaji pengawal keselamatan tersebut kerana harga perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka tidak mencukupi.

Dakwanya lagi, PPKKM sudah pun mengemukakan rayuan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk memberi tempoh selama enam bulan atau hingga kadar kontrak dinaikkan sebelum akta itu dikuatkuasakan sebelum ini.

Tambahnya, mustahil pihak syarikat dapat membayar gaji pengawal keselamatan mengikut akta yang telah dikuatkuasakan itu jika pihak terlibat enggan menaikkan kadar harga perkhidmatan untuk mereka.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, April 26, 2011

Blogger boleh kritik kerajaan

Kerajaan tidak takut kehadiran penulis blog, sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka dan mengetahui pandangan mereka, termasuk bersifat membina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya hubungan ini penting berlandaskan sikap saling menghormati.

”Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat serupa sepanjang masa, tetapi kita tidak boleh bermusuhan.

“Apa yang penting kita mengetengahkan pandangan anda (penulis blog), termasuklah pandangan bersifat membina dan dengan cara ini kita dapat membina sebuah negara dan masa depan lebih baik,” kata Najib dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di sini, semalam.

Hadir sama, Penaung Blog House Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden Blog House Malaysia, Syed Akbar Ali dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata, era ‘kerajaan tahu semuanya’ sudah berlalu dan kini kerajaan perlu mengetahui pandangan serta kritikan penulis blog yang mewakili masyarakat Malaysia.

“Kita perlu wujudkan garis sempadannya. Jika kita gunakan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan dan hal separuh benar, ia suatu perbuatan tidak betul. Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa perlu ada garis sempadan tidak boleh kita langgar,” katanya.

Najib berkata, sekiranya penulis blog tidak melampaui garis ditetapkan, beliau percaya mereka boleh memainkan peranan penting membentuk masa depan lebih gemilang untuk Malaysia dan Asean.

Menurutnya, kerajaan memerintah bukan sahaja dicabar gerila dan tentera upahan dilengkapi pelbagai senjata canggih, tetapi askar siber melancarkan peperangan virus melalui penggunaan papan kekunci dan pad kekunci serba canggih serta telefon pintar seperti dapat dilihat dalam perang Twitter di Iran dan revolusi: Facebook: di Mesir.

“Kita antara peminat Facebook paling tegar, terdapat 10.1 juta pengguna Facebook. Saya berani mengatakan Malaysia memiliki sfera blog paling meriah di dunia dan cukup bebas, walaupun bukan paling bebas.

“Sekali lagi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir tentang hal ini. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Malaysia sedang membangunkan Koridor Raya Multimedianya, Tun berjanji kepada dunia, Malaysia tidak akan menapis kandungan Internet. Kerajaan pimpinan saya komited sepenuhnya terhadap pandangan bijak beliau itu; kami tidak akan memungkiri janji beliau,” katanya.

Najib berkata, beliau yakin Internet adalah enjin untuk pertumbuhan ekonomi serta portal yang menjadi hidangan masyarakat berilmu.

“Ini terpakai untuk semua masyarakat, kerajaan tidak berminat dengan sisi demokrasi yang terdapat pada demokrasi digital pun boleh menggunakan bahagian digitalnya kerana implikasi ekonomi terdapat padanya terlalu besar untuk diketepikan," katanya. Bernama

By hAng keBun with No comments

Monday, April 25, 2011

Bekas Presiden Sony dah meninggal dunia

Bekas Presiden Sony, Norio Ohga yang membantu mengubah industri muzik dengan memajukan format cakera padat (CD) meninggal dunia semasa berumur 81 tahun.

Graduan sekolah muzik itu yang menjadi presiden dari 1982 hingga 1995 meninggal dunia pada Sabtu lalu kerana kegagalan beberapa organnya berfungsi.

Di bawah kepimpinan Ohga, Sony merevolusikan industri muzik dengan format CD pada 1982 bersama dengan syarikat Royal Philips Electronics.

Keputusannya untuk membeli syarikat Columbia dengan harga AS$3.2 bilion (RM10.21 bilion) pada 1989 sekali gus menjadikan Sony sebagai konglomerat hiburan.

Dia turut mereka bentuk logo Sony dan pada zaman pentadbirannya, syarikat itu memasuki pasaran permainan video.

Pada 1993, Ogha melancarkan syarikat Sony Computer Entertainment Inc yang terlibat dalam pasaran permainan video yang didominasi syarikat Nintendo dan Sega. - Agensi

By hAng keBun with No comments

Sunday, April 24, 2011

Betol la Rozita dan Shahir bercinta

“Saya minta maaf andai kenyataan sebelum ini mana-mana pihak termasuk media terasa hati. Jujur saya tidak berniat merahsiakan hubungan kami tetapi terpaksa melakukannya demi menjaga nama baik Shahir yang sedang menapak membina nama. “Kami belum bersedia berkongsi cerita dengan orang ramai sebab itulah apabila media bertanya kami nafi. Jujur, dalam perkara ini saya tidak berani cakap lebih-lebih kerana masih dalam fasa kenal diri masing-masing.

Lagipun jarak usia kami jauh ditambah lagi karier dia yang baru bermula, bimbang apa yang saya cakap boleh menimbulkan macam-macam persepsi. “Saya tidak mahu hubungan kami lebih diperkatakan berbanding karier kerana ia tidak adil bagi Shahir. Jadi ada baiknya biar dia bina kerjaya dulu dan apabila kedudukannya mula kukuh barulah kami boleh bercerita panjang,” katanya. Pun begitu Rozita sedar makin dielak makin hangat gosip mereka diperkatakan hingga dia tidak mampu lagi menepis. Jauh di sudut hati terselit rasa serba salah, umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa apatah lagi penafian demi penafian boleh mengundang pelbagai tafsiran. “Terkilan juga apabila kenyataan yang saya beri sebelum ini disalahertikan. Sungguh-sungguh saya serba-salah. Berterus-terang pun boleh timbul persepsi negatif, berdiam diri pun boleh timbul tanggapan bukan-bukan. “Sepanjang mengenali Shahir, saya lebih banyak berfikir mengenai dirinya berbanding diri sendiri. Paling saya risau, andai pengakuan kami rapat boleh buat dia hilang peminat. Mungkin bunyinya remeh tetapi saya tidak mahu itu berlaku kepada Shahir. “Saya tahu ada peminatnya tidak boleh terima kerana imej kami jauh berbeza,” ujarnya jujur.

Ditanya ke manakah hala tuju hubungan mereka, sambil menghela nafas berat Rozita berkata sebagai wanita perkara ini tidak manis dibicarakan secara terbuka. Apatah lagi masyarakat negara ini masih berpegang kuat kepada adab dan susila. “Saya tidak boleh komen panjang mengenai perkara ini, biarlah masa yang menentukan. Lagipun sebagai manusia biasa, saya tidak boleh meramal masa depan apatah lagi mengulas perkara yang belum berlaku. “Apa yang boleh saya katakan, kami rapat selepas tiga bulan Shahir meninggalkan pentas AF8. Biarpun muda, dia matang malah kami tidak ada masalah menyesuaikan diri antara satu sama lain. Bahkan sebagai wanita saya menghormati lelaki biarpun dia muda daripada saya. “Saya menyenangi keperibadian Shahir. Dia lelaki yang budiman, merendah diri, sopan dan sangat lemah-lembut bicaranya. Kami sama-sama datang dari kampung dan mungkin kerana itu mudah wujud keserasian,” katanya yang berharap kenyataan ini menjelaskan segala teka-teki mengenai hubungan mereka.

By hAng keBun with 2 comments

Punca sakit belakang

TAHUKAH anda empat daripada lima orang di dunia menderita sakit belakang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka?

Apabila membeli barang di pasar raya, ramai pelanggan mengangkat barang secara membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan.

Bagi pekerja kolar putih pula, mereka duduk di meja dan menghadap komputer masing-masing selama berjam-jam. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen.

Adakah senario yang digambarkan di atas menyamai rutin harian kehidupan anda? Kini semakin banyak iklan tentang pil, plaster, balm dan ubat sakit belakang. Semua itu adalah bukti bahawa insiden sakit belakang bahagian bawah (LBP) semakin meningkat.

Tulang belakang yang juga dipanggil tulang spina sebenarnya satu rangkaian tulang vertebra yang membentuk belakang seseorang. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu servikal, torasik dan lumbar.

Memberi fleksibiliti

Bahagian servikal mempunyai tujuh tulang vertebra yang menyambungkan tengkorak kepada tulang belakang. Ia juga membentuk struktur leher selain memberi ruang untuk leher berpusing ke kiri atau kanan.

Bahagian torasik pula adalah bahagian tulang belakang yang mempunyai paling banyak vertebra iaitu 12. Vertebra itu terletak di bahagian dada dan bercantum dengan tulang rusuk yang melindungi organ-organ penting seperti paru-paru dan jantung.

Bahagian lumbar biasanya mempunyai lima atau enam vertebra. Bahagian itu adalah bahagian tulang belakang terkuat kerana ia menyokong berat badan. Ia juga bersambung dengan tulang pelvis.

Keseluruhannya, vertebra berfungsi melindungi kordus spinal dan saraf yang berkaitan. Kordus spinal adalah sekumpulan saraf tunjang yang panjang dan sel-sel sokongan yang bersambung dengan otak lalu menjadikan sistem saraf pusat.

Fungsi lain vertebra tulang belakang ialah memberi fleksibiliti kepada pergerakan badan dan anggota, menyokong kerangka badan selain mengimbangi berat badan ketika berjalan atau berdiri.

Kebanyakan LBP berpunca daripada otot. Badan memerlukan otot yang kuat bagi memastikan postur yang betul.

Di seluruh dunia, perubahan dalam gaya hidup memberi impak dan kesan terhadap kesihatan termasuklah LBP.

Di negara maju dan sedang membangun, masyarakat lebih cenderung meluangkan banyak masa dengan bekerja. Faktor itu dikenal pasti sebagai antara sebab mengapa mereka yang bekerja lebih cenderung mengalami LBP.

Menurut Dr. Barry Kluner: "Banyak kes LBP tersilap diagnosis atau diberikan rawatan yang tidak sepatutnya dan ini menyebabkan kesakitan yang berulang".


MENGANGKAT barang dengan cara yang tidak betul boleh menjejaskan otot tubuh.

"LBP boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur. Ia juga lebih prevalen di kalangan remaja dan anak kecil", kata Dr. Kluner yang juga pakar tulang belakang.

Menyentuh mengenai rawatan LBP, Dr. Kluner berkata, terdapat beberapa cara konservatif seperti berehat, ubat tahan sakit, manipulasi tulang spinal, ubat relaksasi otot, fisioterapi dan mengurut untuk mengurangkan kesakitan tersebut.

Bagaimanapun, kaedah itu kurang berkesan. Kebanyakan LBP yang berpunca daripada otot boleh pulih dalam masa beberapa minggu jika didiagnosis dengan tepat.

Alat sokongan

LBP akut memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama. Kesakitan berulang dapat dihalang jika punca sebenar LBP diketahui.

Kebanyakan aktiviti seperti bekerja, makan dan menonton televisyen dilakukan secara duduk. Menggunakan postur badan yang betul ketika melakukan aktiviti penting bagi menghindari LBP atau kesakitan lain.

Menggunakan alat sokongan yang menghalang tulang pelvik daripada senget boleh membantu mengurangkan risiko LBP.

BackJoy Orthotics dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melancarkan produk ortotik mudah alih pada Pameran Perubatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tanpa menggunakan pil atau preskripsi, pesakit hanya duduk di atas alat tersebut. Ia boleh membantu memulihkan jajaran tulang belakang dan mengimbangi postur sekali gus menghalang berlakunya LBP.

Menurut Bing Howestein, Pengarah Backjoy Orthotics: "BackJoy menyediakan sistem rawatan sendiri." Produk itu sesuai digunakan oleh pesakit pelbagai peringkat umur dan ia boleh didapati di farmasi Vita Care dan stor Babyland.

Di AS kos perawatan bagi masalah LBP dianggar berjumlah AS$30 juta (RM90 juta) setahun.

Kerugian masa bekerja, pengurangan produktiviti serta had dan sekatan dalam aktiviti harian adalah antara kemudaratan yang disebabkan LBP. Masalah itu menyebabkan badan dan organisasi tidak dapat mengoptimum produktiviti.

Masyarakat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya mempunyai tulang spina yang sihat dan pencegahan adalah lebih lebih baik daripada rawatan. - Bernama

By hAng keBun with No comments

Saturday, April 23, 2011

Elok ke makan telur mentah

MINGGU lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP) mengenai kewujudan telur tiruan di pasaran.

Menurut Presidennya, S.M. Mohamed Idris, telur tiruan tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin kemudian mengesahkan ujian yang dilakukan terhadap sampel telur ayam tiruan yang dirampas dari sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mendapati ia tulen.

Sihat

Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.

Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.

Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan.

Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.

Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur sehari.

Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian.

Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati 1,550 orang diserang sakit jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000 meninggal dunia.

Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang diambil oleh rakyat negara ini kerana mereka turut mengambilnya secara tidak langsung seperti dalam kuih-muih, roti dan makanan lain.

Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik dihasilkan di negara ini.


PENGHIDAP penyakit kardiovaskular disarankan mengambil bahagian putih telur sahaja.

Tiga biji

Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja makanan yang diambil secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.

“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka tidak perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan seimbang.

“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,” ulasnya.

Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.

Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.

“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian putihnya sahaja.

“Pengambilan secara mentah pula tidak digalakkan kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar Shariza lagi.

Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.

Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.

Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual.

Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.

Seksual


DUA biji telur untuk sarapan pagi pasti mengenyangkan.


“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.

Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.

Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.

Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur sehari.

“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan mengenyangkan,” katanya.

Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.

Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.

“Keton merupakan bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada badan.

“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.

Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka memerlukan protein dalam jumlah yang besar.

Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang baik untuk kesihatan.

Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.

Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.

“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3, lebih baik mereka mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya.

By hAng keBun with No comments

Friday, April 22, 2011

Mengapa kita biarkan orang asing buat macam ni



Aku pun rasa hairan, macam-macam maklumat dah disebarkan melalui media cetak dan elektronik tetapi masih ade juga yang memberi derma kepada individu seperti ini.

Cara mereka mudah jer, dengan hanya menunggu di tempat lampu isyarat, mereka akan menghampiri ke setiap kenderaan yang akan memberhentikan kereta jika lampu isyarat bewarna merah.

Antara lokasi mereka seperti di dalam gambar ini ialah di sekitar lampu isyarat antara Padang Jawa dengan Shah Alam Seksyen 7 (belakang UITM).

By hAng keBun with No comments

Thursday, April 21, 2011

Pagi yang tak di ingini




Pagi-pagi lagi dah berlaku kemalangan di kawasan rumah aku. Mujur pemandu nya tidak mengalami kecederaan teruk.

Apa-apa pun aku mengingatkan diriku dan kawan-kawan semua hati-hati semasa pemanduan terutamanya di waktu hari hujan.

By hAng keBun with No comments
Related Posts with Thumbnails