Friday, September 23, 2011

Tidak berpuas hati dengan Facebook

Para pengguna Facebook kelmarin memberi reaksi tidak puas hati tentang beberapa pembaharuan yang dilaksanakan di laman rangkaian sosial tersebut.

Di Facebook, orang ramai meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan mewujudkan laman bertajuk 'Petisyen untuk menentang tapak web baru Facebook' manakala laman serupa, #NewFacebook turut diwujudkan di Twitter.

Sebahagian mereka mengadu bahawa perubahan terbaharu Facebook dibuat untuk meniru pesaingnya, Google+ dan perkhidmatan mesej perkongsian berita di Twitter.

"Ramai yang berasa tidak berpuas hati tetapi tiada seorang pun yang akan berpindah (menggunakan laman jaringan sosial lain)," katanya.

Para pengguna Facebook sebelum ini banyak membuat aduan tentang perubahan dalam laman sosial berkenaan tetapi mereka kemudian berusaha untuk menyesuaikan diri dan masih menjadi pengguna setia laman web itu.

Komen negatif itu disuarakan sehari selepas Facebook mula melaksanakan beberapa siri penambahbaikan dalam apa yang dinamakan oleh pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai 'musim pelancaran' untuk ciri-ciri terbaru.

Ciri News Feed di Facebook yang memaparkan kemas kini daripada rakan-rakan kini memberi fokus kepada penghantaran penting dengan paparan imej yang lebih besar berbanding sebelumnya manakala kolum sembang Ticker pula ditambah untuk perbualan dalam masa sebenar.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Facebook banyak memberi tumpuan untuk mencipta kaedah-kaedah baharu supaya para pengguna dapat mengawal aspek penerimaan dan perkongsian maklumat dengan lebih baik.

Facebook pada minggu lalu membenarkan pengguna mengikuti perkembangan orang asing yang bukan rakan mereka melalui penambahan butang Subscribe seperti yang terdapat di Twitter.

Selain itu, Facebook juga membenarkan penggunanya membuat pilihan tentang jenis kemas kini daripada rakan-rakan yang dibenarkan dipaparkan di laman Facebook mereka.

Panel sembang Ticker di kolum kanan skrin Facebook pula membolehkan orang ramai bersembang melalui mesej teks jika terdapat paparan imej baharu atau penghantaran lain.

Facebook dijangkakan membuat lebih banyak pengumuman mengenai pembaharuan laman web itu pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di sini hujung minggu ini.

Antara spekulasi yang tersebar termasuk pelancaran platform untuk perkhidmatan muzik dalam talian seperti Rdio dan Spotify selain paparan berita daripada agensi-agensi profesional.

Persidangan itu diadakan beberapa hari selepas enjin carian Internet Google melancarkan Google+ sebagai saingan terbaru Facebook.

By hAng keBun with No comments

Wednesday, September 21, 2011

Elak sesak dapat 150,000 kupon percuma LRT

Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) semalam mengedarkan 150,000 kupon percuma yang sah digunakan untuk perjalanan sehala percuma Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dalam tempoh setahun mulai esok.

Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, ia tanda sokongan kepada kempen Hari Bebas Kereta Sedunia yang akan disambut esok dengan tujuan mengurangkan pengeluaran karbon yang dihasilkan kenderaan persendirian serta menyedarkan orang ramai untuk memilih menaiki pengangkutan awam.

Bercakap dalam sidang akhbar ketika melancarkan kempen menyokong Hari Bebas Kereta Sedunia itu di sini semalam, beliau berkata, kempen itu turut menggalakkan orang ramai untuk menunggang basikal dan kemudahan meletak basikal disediakan di 17 stesen LRT.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, September 13, 2011

Rahsia menghindari sel kanser

Penyakit kanser atau barah, ia sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja berasa gentar dan takut. Tiada manusia yang waras mahu penyakit ini menghampirinya.

Namun siapa mampu menolak jika ditakdirkan menghidapinya. Hanya tuhan yang mengetahui mengapa seseorang diuji dengan penyakit yang biasanya dikaitkan dengan kematian.

Perubatan moden merupakan pilihan utama rawatan bagi kebanyakan orang yang menghidap kanser walaupun ada sesetengah pesakit memilih untuk berubat secara tradisional.

Pembedahan, kemoterapi dan radioterapi merupakan antara rawatan yang diterima oleh pesakit kanser.

Walaupun ketiga-tiga jenis rawatan itu kedengaran menakutkan, namun kesemuanya perlu dilalui dengan harapan sel kanser yang berada di dalam tubuh akan mati.

Dr. R. Subramaniam dari Hospital Pavitra Nature and Yoga di Coimbatore, di Tamil Nadu, selatan India berkata, masalah utama dalam kehidupan manusia ialah apabila mereka menghidapi sesuatu penyakit yang sudah tentunya mencetuskan ketidakselesaan.

Namun beliau percaya, ia bukan sesuatu yang perlu sentiasa dibimbangi kerana setiap penyakit ada ubatnya.

''Sebenarnya alam semula jadi dapat memberikan kita apa sahaja yang kita kehendaki. Jika kita berbalik kepada alam, kita tidak memerlukan ubat kerana semuanya terdapat di sekeliling kita," katanya yang terkenal dengan kaedah rawatan penyakit kronik melalui pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berasal dari daerah Coimbatore, Dr. Subramanian telah 30 tahun mengamalkan kaedah rawatan tersebut bagi merawat pesakit-pesakit kanser di hospitalnya.

Beliau berada di Kuala Lumpur bagi menyampaikan ceramah untuk pesakit dan bekas pesakit kanser bertajuk Kesihatan Optimal Cara Semulajadi Dengan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Menurut beliau, setiap hari, sebanyak 0.8 peratus sel baru tumbuh dalam tubuh manusia.

Jumlah tersebut lebih tinggi bagi kanak-kanak kerana faktor usia yang muda dan akan berkurangan apabila usia semakin meningkat.

''Jika difikirkan, kehidupan kita sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa sehinggakan apabila makan pun kita tidak mengunyah dengan betul.

"Makanan seharusnya dikunyah perlahan-lahan seperti kanak-kanak yang sedang makan dan nikmati rasa makanan yang kita makan.

"Makanan yang dikunyah dengan betul dan bercampur dengan air liur akan dicerna baik dan diproses menjadi darah yang elok dalam tubuh kita,'' ujarnya.

Beliau menyarankan agar makan apabila perlu dan apabila lapar.

"Jika tidak lapar, jangan makan. Ikut tabiat kanak-kanak. Mereka tidak akan makan jika tidak lapar walaupun ibu bapa memaksa. Itu adalah cara yang betul. Jika hendak makan, ambil sedikit sahaja," katanya.

Dr. Subramaniam menjelaskan, kanser merupakan sel mati yang tidak diperlukan oleh tubuh manusia.

Setiap hari tubuh kita mengeluarkan sel-sel mati melalui pembuangan air besar dan peluh.

Bagaimanapun jika tidak dibuang dengan cara yang betul, sel mati yang tidak diperlukan ini akan berkumpul dalam badan dan menjadi sel kanser.

Justeru di hospitalnya, setiap pesakit diajar melakukan enema kerana ia salah satu rawatan yang penting bagi mengatasi sembelit.

''Membersihkan kolon dengan betul adalah penting. Bersihkan dua kali sehari, Jika tidak boleh cara semula jadi, lakukan enema.

''Bernafas dengan betul dan bersenam akan membuatkan kita lebih bertenaga. Amalkan kehidupan yang gembira dan jangan lemah," katanya.

By hAng keBun with No comments

Thursday, August 25, 2011

Penawar racun - Air garam

Makanan yang dijual di tempat terbuka seperti bazar Ramadan dan pasar malam adakalanya mendedahkan pengguna kepada keracunan makanan lebih-lebih lagi apabila peniaga kurang mementingkan kebersihan dan kesegarannya.

Justeru, Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memilih makanan yang dibeli di luar.

“Saya tahu apabila berdepan dengan pelbagai hidangan yang lazat kadang-kadang kita terlupa untuk memeriksa tahap kebersihannya.

“Sebenarnya tidak susah untuk menilai kualiti sesuatu makanan berdasarkan bau dan rasanya. Jika ia berasa dan berbau masam, elakkan memakan makanan tersebut.

“Sebahagian makanan yang dijual di bazar Ramadan selalunya dimasak dan dijual lebih awal dari waktu berbuka puasa dan ia mudah rosak,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Wendy, keracunan makanan adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus, bakteria dan parasit yang akhirnya menjadi toksik berbahaya kepada perut.

Virus

“Organisma tersebut mudah merebak melalui cecair dan makanan yang kotor.

“Antara jenis virus, bakteria dan parasit yang terlibat termasuklah rotavirus, adenovirus, E. Coli, salmonella, shigella dan giardia,” ujarnya.

Disebabkan organisma tersebut mudah merebak melalui minuman dan air, Wendy menyarankan agar pengguna memilih gerai minuman yang mengamalkan kebersihan.

“Contoh makanan yang kurang bersih adalah minuman air tebu. Selalunya batang tebu yang dilonggokkan itu akan terus diperah bersama-sama kulitnya untuk mendapatkan jus.

“Cuba bayangkan bagaimana ia dihidangkan dalam keadaan begitu sedangkan virus dan bakteria mudah merebak?

“Selain itu, air batu juga sering menyebabkan masalah keracunan makanan kerana kebanyakannya disediakan dengan air yang tidak dimasak terlebih dahulu,” katanya lagi.


MAKANAN yang terdedah senang dicemari.


Jelas Wendy, antara golongan berisiko kepada kematian setelah mengalami keracunan makanan adalah kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, golongan warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Golongan itu sangat berisiko untuk mengalami dehidrasi yang melampau akibat keracunan makanan. Kanak-kanak mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa,” jelas Wendy.

Justeru apabila berdepan dengan simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan keletihan akibat dehidrasi selepas beberapa jam menikmati juadah, Wendy menyarankan agar pesakit menjalankan rawatan sendiri sebelum berjumpa doktor.

Jelasnya, minum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat akibat muntah dan cirit-birit.

“Garam penting kerana ia dapat mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.

“Anda boleh melakukannya sendiri. Campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk untuk diminum. Tidak salah untuk meletakkan sedikit perasa kepada minuman itu.

“Namun, sebaik-baiknya anda harus bersedia dengan ubatan berkaitan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi dan minum banyak air masak,” katanya sambil menambah, kaedah tersebut tidak mengubati keracunan makanan sebaliknya bagi mengembalikan kandungan garam dalam badan.


* Kanak-kanak lebih berisiko mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa.

By hAng keBun with No comments

Wednesday, August 24, 2011

Gerakan murtad semakin berani

Dulu senyap-senyap, kini semakin terbuka. Itulah modus operandi gerakan murtad yang semakin membimbangkan umat Islam negara ini.

Mereka yang melakukannya tidak lagi menghiraukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.

Dari semasa ke semasa, kita boleh perhatikan usaha itu dilakukan dengan semakin berani. Jika dahulu, kita hanya biasa mendengar risalah dakwah bukan Islam ditinggal lari dalam bekas barang motosikal, diselit pada pengelap cermin kereta atau dalam peti surat, namun apa yang berlaku kini lebih daripada itu lagi.

Sebelum ini, kita dihadapkan dengan tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian, kemudiannya al-Kitab (Bible) dalam bahasa Melayu yang menyaksikan pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri apabila isu itu turut diheret dalam perbalahan politik.

Apa yang lebih membimbangkan apabila timbul isu anak-anak orang Islam diajar menyanyi lagu Kristian siap dengan simbolnya sedangkan mereka mempelajari semua itu di bawah program tuisyen atau tadika amal yang diberi percuma untuk keluarga miskin.

Cuba kita bayangkan apa akan jadi kepada zuriat Melayu/ Islam ini pada masa depan andainya tidak diselamatkan dengan segera?

Ramadan tahun ini amat memilukan apabila seawal hari ketiga umat Islam berpuasa, tercetus kontroversi sekumpulan orang Islam diundang berbuka puasa dalam majlis yang diadakan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memeriksa majlis itu apabila terdapat aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan orang Islam berlaku di majlis berkenaan.

Apa yang berlaku di DUMC seharusnya menyedarkan kan semua orang Islam, terutama pemimpin bahawa sesuatu yang tegas dan serius perlu dilakukan untuk menghadapi gejala yang semakin mencemaskan ini.

Namun malangnya, perbalahan politik sekali lagi tidak dapat dielakkan apabila pemimpin Islam bercakaran, saling tuduh menuduh malah ada yang mengecam Jais atas tindakannya itu.

Melihat apa berlaku satu persatu, gerakan memurtadkan orang Islam yang semakin berani ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan terancang diatur sama ada di dalam mahupun luar gelanggang politik.

Ini dipercayai setelah mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu/Islam daripada perpecahan yang berlaku, selain ruang yang terbuka apabila ada pemimpin yang menguasai negeri tertentu tidak bersikap tegas dalam hal ini demi untuk menjaga hati pengundi dan rakan parti bukan Islam.

Bagaimanapun perlu diingat, meskipun undang-undang diwujudkan termasuk cadangan Akta Murtad seperti yang dihebohkan, iman yang sebenar adalah pada hati.

Tiada guna undang-undang menghalang jika hati seseorang Islam itu sudah berpaling tadah.

Bagi gerakan misioner, meskipun undang-undang (Perlembagaan) menghalang, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab agama mereka. Sama ada mereka bermatlamat syurga, ataupun istana (politik), mereka tetap akan melakukannya meskipun ditegah oleh undang-undang.

Maka apa yang perlu ialah mengatasi semua kelemahan yang ada.

Jika miskin punca orang Islam semakin ramai murtad, usaha membantu mereka dari segi ekonomi, terutama menerusi tabung zakat atau Baitul Mal perlu ditingkatkan.

Lihat semula Bicara Isnin Sinar Harian minggu lalu di bawah tajuk muka depan ‘SUSAHNYA DAPAT ZAKAT’ bagaimana kerenah birokrasi dalam agensi pengurus zakat menjadi halangan bagi ramai orang yang memerlukan mendapat bantuan.

Begitu juga jika cinta menjadi ‘senjata’ gerakan murtad sebagaimana yang selalu disebut-sebut, sesuatu perlu dilakukan untuk memantapkan lagi akidah muda mudi Islam sebagai perisai yang boleh menegah mereka hanyut dalam gelora nafsu remaja.

Begitu juga dengan pengaruh persekitaran, usaha yang lebih jelas perlu dilakukan untuk menanganinya termasuk mengawal apa sahaja medium yang mengancam terutama yang berkaitan dengan hiburan, maksiat dan pergaulan.

Pertubuhan bukan kerajaan perlu mengetepikan motif politik, lebih ikhlas berjuang membantu golongan terpinggir,

Pemimpin politik Melayu/Islam pula dirayu supaya tahu batas berpolitik, tidak menjadikan isu agama sebagai senjata memancing undi. Apabila timbul isu seperti ini, mereka perlu kembali bersatu untuk membina bentang yang kukuh supaya Islam di tanah air tercinta ini tidak mudah runtuh.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, August 23, 2011

Kolam renang gergasi

Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.

Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi.

Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.

Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat.

By hAng keBun with No comments

Monday, August 22, 2011

Buat hula hoop cipta rekod dunia

Seramai 2,496 orang berhimpun di sini kelmarin untuk memecahkan rekod dunia bermain gelung plastik atau lebih dikenali sebagai hula hoop.

Orang ramai menggoyangkan gelung plastik masing-masing selama tiga minit di pinggang mereka untuk dicatatkan dalam rekod Guinness World of Record.

Rekod sebelum ini menampilkan penyertaan 2,290 orang pada tahun 2000 yang diadakan di bandar Kaohsiung.

Acara itu dianjurkan oleh syarikat makanan kesihatan untuk meraikan seratus tahun penubuhan Republik China selain memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan banyak senaman.

By hAng keBun with No comments

Sunday, August 14, 2011

Tidak ade nasib jer...Syabas Lee Chong Wei

Kejayaan Datuk Lee Chong Wei memenangi set pertama Kejohanan Badminton Dunia BWF gagal membuang ‘badi’ kejohanan selepas kalah kepada seteru utama, Lin Dan, 22-20, 14-21, 21-23.

Badi kejohanan terus membelenggu pemain No. 1 dunia itu selepas enam kali mencuba apabila gagal dalam satu perlawanan final sengit untuk membawa pulang kejuaraan dunia buat kali pertama.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, August 9, 2011

Dapat anak kembar empat

Pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan suaminya, Hazli Zakaria, 39, bersyukur kepada Allah SWT apabila penantian selama tujuh tahun mereka untuk mendapatkan anak kedua berakhir setelah dikurniakan anak kembar empat.

Jasmina yang melahirkan kembar empat itu dengan cara pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Jun lalu berkata, dia dan suami tidak pernah menyangka akan dikurniakan anak kembar.

“Kami berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas mendapat anak pertama Eimann Arrazi yang lahir pada 2004 sewaktu saya sedang belajar di United Kingdom (UK).

“Pelbagai usaha dibuat sehingga saya dan suami memilih untuk menjalani kaedah persenyawaan dalam rahim (IUI). Doktor ada memberitahu IUI akan membolehkan saya mendapat anak kembar tetapi saya tidak pernah menyangka ke arah itu.

“Selepas disahkan mengandung, tiga minggu selepas itu, saya sudah diberitahu akan mendapat anak kembar empat. Tidak banyak masalah sewaktu mengandung, cuma pada bulan keenam saya sudah dimasukkan ke HKL sehinggalah bersalin,” .

Menceritakan pengalamannya, Jasmina berkata, sewaktu pembedahan, doktor mengambil masa selama satu setengah jam untuk mengeluarkan anak dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keempat-empat anak saya, yang mana dua lelaki dan dua perempuan sihat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu dilahirkan anak kembar mereka iaitu Eirfann Arrazi adalah seberat 2 kilogram (kg), Sara Yasmin (1.34kg), Eihsann Arrazi (2.1kg) dan Shaza Jasmin seberat 1.66kg.

“Eirfann dilahirkan pada pukul 2.08 petang, Sara (2.09 petang), Eihsann (2.10 petang) dan Shaza pada pukul 2.11 petang iaitu masing-masing selang seminit,” jelasnya.

Tahniah diucapkan kepada pasangan ini. Bertuahnya badan kan.

By hAng keBun with No comments

Monday, August 8, 2011

Hamil setiap kali 'makan'

Perut seorang gadis, Kerri Dowdswell akan membesar seperti dia sedang hamil setiap kali selepas makan, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, perut gadis berusia 23 tahun itu akan kembali kepada keadaan normal beberapa jam selepas itu.

"Saya kerap kali ditanya bila akan bersalin dan ia agak tidak menyelesakan apabila berada dalam keadaan seperti ini," katanya yang berasal dari Cannock, Staffordshire.

Masalah tersebut membuatkan dia terpaksa memakai seluar untuk ibu bersalin setiap kali keluar makan.

Setakat ini, doktor-doktor masih bingung kerana mereka masih tidak mengetahui punca kejadian itu.

Kerri menghidap penyakit itu semasa dia mendapat haid buat kali pertama.

Menurut gadis itu, perutnya akan membesar dalam tempoh 15 minit semasa dia makan.

Namun, katanya, ada ketika perutnya mengambil masa selama beberapa jam selepas waktu makan untuk kelihatan seperti wanita hamil.

Kerri berkata, perutnya itu akan kembali normal beberapa jam selepas ia membesar.

By hAng keBun with No comments
Related Posts with Thumbnails