Kerajaan tidak takut kehadiran penulis blog, sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka dan mengetahui pandangan mereka, termasuk bersifat membina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya hubungan ini penting berlandaskan sikap saling menghormati.
”Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat serupa sepanjang masa, tetapi kita tidak boleh bermusuhan.
“Apa yang penting kita mengetengahkan pandangan anda (penulis blog), termasuklah pandangan bersifat membina dan dengan cara ini kita dapat membina sebuah negara dan masa depan lebih baik,” kata Najib dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di sini, semalam.
Hadir sama, Penaung Blog House Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden Blog House Malaysia, Syed Akbar Ali dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib berkata, era ‘kerajaan tahu semuanya’ sudah berlalu dan kini kerajaan perlu mengetahui pandangan serta kritikan penulis blog yang mewakili masyarakat Malaysia.
“Kita perlu wujudkan garis sempadannya. Jika kita gunakan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan dan hal separuh benar, ia suatu perbuatan tidak betul. Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa perlu ada garis sempadan tidak boleh kita langgar,” katanya.
Najib berkata, sekiranya penulis blog tidak melampaui garis ditetapkan, beliau percaya mereka boleh memainkan peranan penting membentuk masa depan lebih gemilang untuk Malaysia dan Asean.
Menurutnya, kerajaan memerintah bukan sahaja dicabar gerila dan tentera upahan dilengkapi pelbagai senjata canggih, tetapi askar siber melancarkan peperangan virus melalui penggunaan papan kekunci dan pad kekunci serba canggih serta telefon pintar seperti dapat dilihat dalam perang Twitter di Iran dan revolusi: Facebook: di Mesir.
“Kita antara peminat Facebook paling tegar, terdapat 10.1 juta pengguna Facebook. Saya berani mengatakan Malaysia memiliki sfera blog paling meriah di dunia dan cukup bebas, walaupun bukan paling bebas.
“Sekali lagi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir tentang hal ini. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Malaysia sedang membangunkan Koridor Raya Multimedianya, Tun berjanji kepada dunia, Malaysia tidak akan menapis kandungan Internet. Kerajaan pimpinan saya komited sepenuhnya terhadap pandangan bijak beliau itu; kami tidak akan memungkiri janji beliau,” katanya.
Najib berkata, beliau yakin Internet adalah enjin untuk pertumbuhan ekonomi serta portal yang menjadi hidangan masyarakat berilmu.
“Ini terpakai untuk semua masyarakat, kerajaan tidak berminat dengan sisi demokrasi yang terdapat pada demokrasi digital pun boleh menggunakan bahagian digitalnya kerana implikasi ekonomi terdapat padanya terlalu besar untuk diketepikan," katanya. Bernama
Tuesday, April 26, 2011
Blogger boleh kritik kerajaan
Under: Politik
0 comments:
Post a Comment