Monday, May 3, 2010

21 kes

“Sehingga Mac tahun ini saja, 21 kes pembuangan bayi direkod dalam statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ia sebenarnya angka yang besar dan boleh dianggap kritikal,” kata Penolong Pengarah Kanak-kanak JKM, Sopian Brahim.

“Bermula 2007, JKM menyediakan rumah perlindungan, iaitu Rumah Sinar Kasih dan juga Taman Seri Puteri untuk mengendalikan kes kelahiran anak luar nikah bagi menangani masalah buang bayi.


“Bagaimanapun, stigma masyarakat yang takut untuk tampil ke depan dan tidak mahu mendapat khidmat sokongan daripada pihak berkuasa (JKM) menyebabkan masalah ini masih berleluasa,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Persidangan Meja Bulat Mengenai Isu Pembuangan Bayi di Bilik Persidangan Shafie Tingkat 2 Bangunan Kuliyyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.


Sempena persidangan terbabit, Sopian hadir selaku panel persidangan bersama Pegawai Penyelidik, Majlis Agama Islam Sarawak, Aminah Ismail dan Ketua Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadlina Sidly.

Persidangan itu dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang turut membabitkan penyertaan penuntut dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Kolej Agama Islam Selangor (KUIS) dan Sekolah Menengah Agama Islam Kuala Lumpur.


Daripada persidangan itu, JKM turut mendedahkan, statistik mengenai masalah berkenaan menunjukkan Selangor merekodkan jumlah tertinggi pembuangan bayi, iaitu 127 kes sejak 2004, diikuti Johor 104 kes dan Sabah 73 kes.


Naib Presiden PKPIM, Nor Akmariah Abdullah, 24, berkata tiba masanya pihak berkuasa, kerajaan dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) mengambil langkah proaktif menangi masalah terbabit.


“Saya berharap melalui persidangan meja bulat ini, kita mampu mencari satu formula untuk mengatasi masalah pembuangan yang semakin serius kerana kebanyakan kes membabitkan remaja.


“Kita tidak mahu masyarakat menganggap jika mereka tampil, mereka akan dihukum. Sebaliknya kita mahu mereka sedar mereka sebenarnya perlu dibantu dan diberi sokongan sewajarnya,” katanya yang juga penuntut Sarjana Sains Pembangunan Manusia dan Ekologi Keluarga, UPM.


Antara lain, persidangan meja bulat terbabit turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada ABIM dan Jemaah Islam Malaysia yang bakal mengadakan bengkel dan tindakan susulan daripada persidangan itu nanti.

sumber Harian Metro Ahad 2/5/10



By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails