Friday, April 9, 2010

Kempen Kami Prihatin dilancar


KUALA LUMPUR - Lebih 2,000 orang menghadiri majlis pelancaran kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Astro di sini semalam.

Kempen yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi itu turut mendapat perhatian artis- artis terkemuka tanah air.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika merasmikan kempen itu berkata, usaha yang dilakukan melalui kempen itu perlu disokong semua pihak.

Menurutnya, statistik pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak pada ketika ini cukup menyedihkan.

"Sejak empat tahun lalu, sebanyak 407 kes pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Nor Hayati Sulaiman; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz dan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez.

Sementara itu, Aziz dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu berkata, kempen kemanusiaan tersebut akan diperluaskan dengan pelbagai program bermatlamat membantu menangani gejala sosial.

"Usaha ini dapat dilakukan dengan penyemaian akhlak mulia di kalangan generasi muda," katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat berganding bahu mengatasi masalah tersebut dengan mengamalkan konsep jaya waris iaitu 'anak orang anak kita'.

Pada 22 Mac lalu, akhbar Utusan Malaysia menggerakkan kempen Kami Prihatin ekoran gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi yang semakin menjadi-jadi.

Melalui projek itu, satu klip video lagu Harapan Tanpa Suara dihasilkan oleh komposer S. Atan dan lirik oleh Habsah Hassan. (sumber dari akhbar Kosmo-9/4/10)

Lagu tema kempen Kami Prihatin
HARAPAN TANPA SUARA
--------------------------
-------------------
Di dalam kandungan ibuku sayang
Amannya kurasakan
Degupan jantungmu, jantungku
Irama penuh syahdu

Ku ingin rasai kehangatan pelukan

Belaian kasih sayang
Ku jaga kau di hari tuamu
Andai panjang usiaku

Korus:

Namun hanya harapan tanpa suara
Di dunia cuma seketika
Jasad kaku dibaluti kertas usang
Terbiar bagai sampah terbuang

Di manakah ibu di manakah ayah

Bonekakah atau manusia
Anak tidak berdosa menjadi mangsa
Oleh hawa nafsu yang serakah

Lagu: S. Atan

Lirik: Habsah Hassan


Bloggers sokong kempen Kami Prihatin

PULAU PINANG 4 April - Kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia turut mendapat sokongan seorang penulis blog yang memaparkan logo kempen itu pada blognya.

Penulis blog Minda Intelek Melayu (M.I.M), Dr. Novandri Hasan Basri berkata, beliau memaparkan logo itu pada blognya kerana mahu usaha murni Utusan Malaysia itu diperluaskan lagi di alam siber.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru bloggers lain untuk bersama-sama menjayakan kempen tersebut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

''Sebagai permulaan, saya menjemput para bloggers dan pengguna facebook, tidak kira yang prokerajaan atau propembangkang untuk bersama-sama menjayakan kempen Kami Prihatin.

''Kita boleh membantu dengan meletakkan logo Kami Prihatin pada blog masing-masing sebagai tanda keprihatinan terhadap isu masyarakat di negara ini," katanya dalam entri blognya di alamat http://novandri.blogspot.com

Beliau berpendapat, selain isu politik, para bloggers dan pengguna Facebook juga mempunyai tanggungjawab penting untuk mengetengahkan isu-isu masyarakat seperti penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Dr. Novandri juga berharap, mesej Kami Prihatin dapat diperluaskan lagi supaya ia meliputi kesedaran agama kerana ada antara kes buang bayi dan penderaan berlaku disebabkan pegangan agama yang longgar.

''Saya menyasarkan lebih 600 bloggers dan pengguna Facebook akan turut serta dalam kempen peringkat siber ini,'' katanya. - Utusan


By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails