Thursday, August 25, 2011

Penawar racun - Air garam

Makanan yang dijual di tempat terbuka seperti bazar Ramadan dan pasar malam adakalanya mendedahkan pengguna kepada keracunan makanan lebih-lebih lagi apabila peniaga kurang mementingkan kebersihan dan kesegarannya.

Justeru, Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memilih makanan yang dibeli di luar.

“Saya tahu apabila berdepan dengan pelbagai hidangan yang lazat kadang-kadang kita terlupa untuk memeriksa tahap kebersihannya.

“Sebenarnya tidak susah untuk menilai kualiti sesuatu makanan berdasarkan bau dan rasanya. Jika ia berasa dan berbau masam, elakkan memakan makanan tersebut.

“Sebahagian makanan yang dijual di bazar Ramadan selalunya dimasak dan dijual lebih awal dari waktu berbuka puasa dan ia mudah rosak,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Wendy, keracunan makanan adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus, bakteria dan parasit yang akhirnya menjadi toksik berbahaya kepada perut.

Virus

“Organisma tersebut mudah merebak melalui cecair dan makanan yang kotor.

“Antara jenis virus, bakteria dan parasit yang terlibat termasuklah rotavirus, adenovirus, E. Coli, salmonella, shigella dan giardia,” ujarnya.

Disebabkan organisma tersebut mudah merebak melalui minuman dan air, Wendy menyarankan agar pengguna memilih gerai minuman yang mengamalkan kebersihan.

“Contoh makanan yang kurang bersih adalah minuman air tebu. Selalunya batang tebu yang dilonggokkan itu akan terus diperah bersama-sama kulitnya untuk mendapatkan jus.

“Cuba bayangkan bagaimana ia dihidangkan dalam keadaan begitu sedangkan virus dan bakteria mudah merebak?

“Selain itu, air batu juga sering menyebabkan masalah keracunan makanan kerana kebanyakannya disediakan dengan air yang tidak dimasak terlebih dahulu,” katanya lagi.


MAKANAN yang terdedah senang dicemari.


Jelas Wendy, antara golongan berisiko kepada kematian setelah mengalami keracunan makanan adalah kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, golongan warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Golongan itu sangat berisiko untuk mengalami dehidrasi yang melampau akibat keracunan makanan. Kanak-kanak mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa,” jelas Wendy.

Justeru apabila berdepan dengan simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan keletihan akibat dehidrasi selepas beberapa jam menikmati juadah, Wendy menyarankan agar pesakit menjalankan rawatan sendiri sebelum berjumpa doktor.

Jelasnya, minum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat akibat muntah dan cirit-birit.

“Garam penting kerana ia dapat mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.

“Anda boleh melakukannya sendiri. Campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk untuk diminum. Tidak salah untuk meletakkan sedikit perasa kepada minuman itu.

“Namun, sebaik-baiknya anda harus bersedia dengan ubatan berkaitan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi dan minum banyak air masak,” katanya sambil menambah, kaedah tersebut tidak mengubati keracunan makanan sebaliknya bagi mengembalikan kandungan garam dalam badan.


* Kanak-kanak lebih berisiko mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa.

By hAng keBun with No comments

Wednesday, August 24, 2011

Gerakan murtad semakin berani

Dulu senyap-senyap, kini semakin terbuka. Itulah modus operandi gerakan murtad yang semakin membimbangkan umat Islam negara ini.

Mereka yang melakukannya tidak lagi menghiraukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.

Dari semasa ke semasa, kita boleh perhatikan usaha itu dilakukan dengan semakin berani. Jika dahulu, kita hanya biasa mendengar risalah dakwah bukan Islam ditinggal lari dalam bekas barang motosikal, diselit pada pengelap cermin kereta atau dalam peti surat, namun apa yang berlaku kini lebih daripada itu lagi.

Sebelum ini, kita dihadapkan dengan tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian, kemudiannya al-Kitab (Bible) dalam bahasa Melayu yang menyaksikan pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri apabila isu itu turut diheret dalam perbalahan politik.

Apa yang lebih membimbangkan apabila timbul isu anak-anak orang Islam diajar menyanyi lagu Kristian siap dengan simbolnya sedangkan mereka mempelajari semua itu di bawah program tuisyen atau tadika amal yang diberi percuma untuk keluarga miskin.

Cuba kita bayangkan apa akan jadi kepada zuriat Melayu/ Islam ini pada masa depan andainya tidak diselamatkan dengan segera?

Ramadan tahun ini amat memilukan apabila seawal hari ketiga umat Islam berpuasa, tercetus kontroversi sekumpulan orang Islam diundang berbuka puasa dalam majlis yang diadakan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memeriksa majlis itu apabila terdapat aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan orang Islam berlaku di majlis berkenaan.

Apa yang berlaku di DUMC seharusnya menyedarkan kan semua orang Islam, terutama pemimpin bahawa sesuatu yang tegas dan serius perlu dilakukan untuk menghadapi gejala yang semakin mencemaskan ini.

Namun malangnya, perbalahan politik sekali lagi tidak dapat dielakkan apabila pemimpin Islam bercakaran, saling tuduh menuduh malah ada yang mengecam Jais atas tindakannya itu.

Melihat apa berlaku satu persatu, gerakan memurtadkan orang Islam yang semakin berani ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan terancang diatur sama ada di dalam mahupun luar gelanggang politik.

Ini dipercayai setelah mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu/Islam daripada perpecahan yang berlaku, selain ruang yang terbuka apabila ada pemimpin yang menguasai negeri tertentu tidak bersikap tegas dalam hal ini demi untuk menjaga hati pengundi dan rakan parti bukan Islam.

Bagaimanapun perlu diingat, meskipun undang-undang diwujudkan termasuk cadangan Akta Murtad seperti yang dihebohkan, iman yang sebenar adalah pada hati.

Tiada guna undang-undang menghalang jika hati seseorang Islam itu sudah berpaling tadah.

Bagi gerakan misioner, meskipun undang-undang (Perlembagaan) menghalang, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab agama mereka. Sama ada mereka bermatlamat syurga, ataupun istana (politik), mereka tetap akan melakukannya meskipun ditegah oleh undang-undang.

Maka apa yang perlu ialah mengatasi semua kelemahan yang ada.

Jika miskin punca orang Islam semakin ramai murtad, usaha membantu mereka dari segi ekonomi, terutama menerusi tabung zakat atau Baitul Mal perlu ditingkatkan.

Lihat semula Bicara Isnin Sinar Harian minggu lalu di bawah tajuk muka depan ‘SUSAHNYA DAPAT ZAKAT’ bagaimana kerenah birokrasi dalam agensi pengurus zakat menjadi halangan bagi ramai orang yang memerlukan mendapat bantuan.

Begitu juga jika cinta menjadi ‘senjata’ gerakan murtad sebagaimana yang selalu disebut-sebut, sesuatu perlu dilakukan untuk memantapkan lagi akidah muda mudi Islam sebagai perisai yang boleh menegah mereka hanyut dalam gelora nafsu remaja.

Begitu juga dengan pengaruh persekitaran, usaha yang lebih jelas perlu dilakukan untuk menanganinya termasuk mengawal apa sahaja medium yang mengancam terutama yang berkaitan dengan hiburan, maksiat dan pergaulan.

Pertubuhan bukan kerajaan perlu mengetepikan motif politik, lebih ikhlas berjuang membantu golongan terpinggir,

Pemimpin politik Melayu/Islam pula dirayu supaya tahu batas berpolitik, tidak menjadikan isu agama sebagai senjata memancing undi. Apabila timbul isu seperti ini, mereka perlu kembali bersatu untuk membina bentang yang kukuh supaya Islam di tanah air tercinta ini tidak mudah runtuh.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, August 23, 2011

Kolam renang gergasi

Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.

Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi.

Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.

Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat.

By hAng keBun with No comments

Monday, August 22, 2011

Buat hula hoop cipta rekod dunia

Seramai 2,496 orang berhimpun di sini kelmarin untuk memecahkan rekod dunia bermain gelung plastik atau lebih dikenali sebagai hula hoop.

Orang ramai menggoyangkan gelung plastik masing-masing selama tiga minit di pinggang mereka untuk dicatatkan dalam rekod Guinness World of Record.

Rekod sebelum ini menampilkan penyertaan 2,290 orang pada tahun 2000 yang diadakan di bandar Kaohsiung.

Acara itu dianjurkan oleh syarikat makanan kesihatan untuk meraikan seratus tahun penubuhan Republik China selain memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan banyak senaman.

By hAng keBun with No comments

Sunday, August 14, 2011

Tidak ade nasib jer...Syabas Lee Chong Wei

Kejayaan Datuk Lee Chong Wei memenangi set pertama Kejohanan Badminton Dunia BWF gagal membuang ‘badi’ kejohanan selepas kalah kepada seteru utama, Lin Dan, 22-20, 14-21, 21-23.

Badi kejohanan terus membelenggu pemain No. 1 dunia itu selepas enam kali mencuba apabila gagal dalam satu perlawanan final sengit untuk membawa pulang kejuaraan dunia buat kali pertama.

By hAng keBun with No comments

Tuesday, August 9, 2011

Dapat anak kembar empat

Pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan suaminya, Hazli Zakaria, 39, bersyukur kepada Allah SWT apabila penantian selama tujuh tahun mereka untuk mendapatkan anak kedua berakhir setelah dikurniakan anak kembar empat.

Jasmina yang melahirkan kembar empat itu dengan cara pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Jun lalu berkata, dia dan suami tidak pernah menyangka akan dikurniakan anak kembar.

“Kami berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas mendapat anak pertama Eimann Arrazi yang lahir pada 2004 sewaktu saya sedang belajar di United Kingdom (UK).

“Pelbagai usaha dibuat sehingga saya dan suami memilih untuk menjalani kaedah persenyawaan dalam rahim (IUI). Doktor ada memberitahu IUI akan membolehkan saya mendapat anak kembar tetapi saya tidak pernah menyangka ke arah itu.

“Selepas disahkan mengandung, tiga minggu selepas itu, saya sudah diberitahu akan mendapat anak kembar empat. Tidak banyak masalah sewaktu mengandung, cuma pada bulan keenam saya sudah dimasukkan ke HKL sehinggalah bersalin,” .

Menceritakan pengalamannya, Jasmina berkata, sewaktu pembedahan, doktor mengambil masa selama satu setengah jam untuk mengeluarkan anak dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keempat-empat anak saya, yang mana dua lelaki dan dua perempuan sihat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu dilahirkan anak kembar mereka iaitu Eirfann Arrazi adalah seberat 2 kilogram (kg), Sara Yasmin (1.34kg), Eihsann Arrazi (2.1kg) dan Shaza Jasmin seberat 1.66kg.

“Eirfann dilahirkan pada pukul 2.08 petang, Sara (2.09 petang), Eihsann (2.10 petang) dan Shaza pada pukul 2.11 petang iaitu masing-masing selang seminit,” jelasnya.

Tahniah diucapkan kepada pasangan ini. Bertuahnya badan kan.

By hAng keBun with No comments

Monday, August 8, 2011

Hamil setiap kali 'makan'

Perut seorang gadis, Kerri Dowdswell akan membesar seperti dia sedang hamil setiap kali selepas makan, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, perut gadis berusia 23 tahun itu akan kembali kepada keadaan normal beberapa jam selepas itu.

"Saya kerap kali ditanya bila akan bersalin dan ia agak tidak menyelesakan apabila berada dalam keadaan seperti ini," katanya yang berasal dari Cannock, Staffordshire.

Masalah tersebut membuatkan dia terpaksa memakai seluar untuk ibu bersalin setiap kali keluar makan.

Setakat ini, doktor-doktor masih bingung kerana mereka masih tidak mengetahui punca kejadian itu.

Kerri menghidap penyakit itu semasa dia mendapat haid buat kali pertama.

Menurut gadis itu, perutnya akan membesar dalam tempoh 15 minit semasa dia makan.

Namun, katanya, ada ketika perutnya mengambil masa selama beberapa jam selepas waktu makan untuk kelihatan seperti wanita hamil.

Kerri berkata, perutnya itu akan kembali normal beberapa jam selepas ia membesar.

By hAng keBun with No comments

Sunday, August 7, 2011

Mengaku tipu kajian Internet Explorer

Satu kajian terbaharu yang menyatakan bahawa pengguna perisian komputer Internet Explorer (IE) memiliki kecerdasan intelektual (IQ) rendah sebenarnya satu penipuan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian tersebut yang mendakwa bahawa pengguna IE adalah bodoh dijalankan oleh sebuah firma Kanada, AptiQuant.

IE merupakan perisian enjin carian Internet keluaran firma Microsoft yang diasaskan oleh orang kedua terkaya di dunia, Bill Gates.

Penipuan itu terbongkar selepas sebuah laman berita perniagaan, Computer Business Review (CBR) mendapati laman web AptiQuant mengandungi imej dan teks yang sama dengan sebuah firma penyelidikan dikenali sebagai Central Test.

Pembohongan itu jelas terbukti apabila CBR menerima kenyataan daripada Central Test menyatakan, ia tidak tahu tentang AptiQuant walaupun kedua-dua syarikat memiliki banyak persamaan.

Seorang jurutera web kemudian mengaku melakukan penipuan tersebut kerana dia berasa kecewa dengan IE.

"Saya amat kecewa dengan IE kerana cuma satu versi perisian tersebut boleh digunakan pada sesuatu masa untuk menguji laman web," kata lelaki tersebut.

"Saya kemudian menciptakan helah itu untuk meyakinkan orang lain supaya berhenti menggunakan IE," tambahnya.


Sila rujuk kenyataan sebelum ini... http://shahrirjani.blogspot.com/2011/08/pengguna-internet-explorer-miliki-iq.html

By hAng keBun with No comments

Friday, August 5, 2011

Kakak Pengasas FB letak jawatan

Pengarah Pemasaran Facebook, Randi Zuckerberg (gambar kecil) yang juga kakak pengasas laman itu, Mark Zuckerberg telah meletakkan jawatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berusia 29 tahun dan bekas pelajar Universiti Harvard meletakkan jawatan setelah berkhidmat selama enam tahun.

Randi akan memulakan empayar media sosial dengan membantu syarikat-syarikat teknologi lain menjadi lebih mesra sosial dengan para pengguna.

Laman rangkaian sosial Facebook mengesahkan peletakan jawatan itu.

"Kami boleh mengesahkan bahawa Randi telah memutuskan untuk meninggalkan Facebook bagi memulakan syarikatnya sendiri," katanya dalam satu kenyataan Facebook.

Zuckerberg yang berusia 27 tahun menubuhkan Facebook pada 2004 dan harta kekayaannya dianggarkan bernilai AS$13.5 bilion (RM40.23 bilion).

By hAng keBun with No comments

Thursday, August 4, 2011

Harimau Muda garang di Slovakia

SKUAD Olimpik negara semakin garang di Slovakia. Semalam mereka mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada siri aksi persahabatan di negara tersebut dengan menewaskan kelab Liga 1 Slovakia, Tatran Liptovsky Mikulas 2-1. Slovakia kini menduduki ranking ke-29 dunia dan pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010

di Afrika Selatan.

Pada kempen di Afrika Selatan itu, Slovakia berjaya melangkah ke pusingan kedua melibatkan 16 pasukan terbaik sebelum tewas 1-2 kepada Belanda. Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu berjaya menewaskan Bodva Moldava 1-0 pada 26 Julai lalu dan Topvar Topolcany 2-1 pada Sabtu lalu. Menurut Kim Swee, secara keseluruhannya, persembahan para pemainnya semakin menunjukkan peningkatan, namun masih banyak yang boleh diperbaiki.

"Perlawanan ini cukup sengit dengan intensiti yang cukup tinggi. Pemain telah berjaya mengawal permainan dengan baik. “Tapi pada babak kedua, kita kurang mengasak apabila pasukan lawan memberi tekanan terutama di bahagian tengah,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam. Pada perlawanan itu, dua gol skuad Olimpik negara dijaringkan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-11 dan Irfan Fazail minit ke-86 sebelum Mikulas merapatkan kedudukan menerusi tandukan Virgala Thomas pada minit ke-88.

Kim Swee menurunkan enam pemain kesebelasan bertemu Moldava iaitu Fandi Othman, Amer Saidin, Gary Steven Robbat, Zubir Azmi, Shukor Jusoh dan Irfan serta tiga pemain kesebelasan bertemu Topolcany iaitu Ferris Danial Mat Nasir, Azrif Nasrulhaq Badrul dan Hazwan. Dua lagi pemain iaitu penjaga gol, Zamir Selamat dan Syahrul Azwari Ibrahim turun buat kali pertama dalam kesebelasan utama. “Sepanjang separuh masa kedua, saya membawa masuk Izuan Solahuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor, Nazirul Naim Che Hashim, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan A. Thamil Arasu,” ujar Kim Swee. Untuk aksi keempat, skuad Olimpik negara akan bertemu kelab Hungary, Honved Budapest pada Selasa depan.


Bahan dari: Akhbar KOSMO


By hAng keBun with No comments

Mirip misai Hitler

Seekor anak kucing diberi nama jolokan Kitler kerana haiwan itu mempunyai tompok hitam di bawah hidung yang menyebabkan ia kelihatan mirip misai bekas pemimpin Nazi dari Jerman, Adolf Hitler.

Anak kucing itu ditinggalkan di tepi sebatang jalan raya dan kini dijaga oleh sebuah pusat perlindungan haiwan di sini.

Ratusan pengunjung yang melawat pusat perlindungan haiwan itu enggan mengambil anak kucing tersebut untuk dipelihara kerana tompokan seperti misai tersebut.

Hitler memang terkenal kerana kekejamannya mengetuai pembunuhan kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

By hAng keBun with No comments

Wednesday, August 3, 2011

Pengguna Internet Explorer miliki IQ yang rendah

Satu kajian baharu mendapati para pengguna perisian Internet Explorer (IE) adalah bodoh kerana mereka memiliki purata tahap kecerdasan intelektual (IQ) cuma 80, lapor sebuah akhbar semalam.

Internet Explorer (IE) yang mula digunakan pada awal 1990-an merupakan sistem operasi komputer popular ciptaan firma Microsoft yang diterajui bilionair, Bill Gates.

Kajian tersebut dilakukan oleh firma perunding Kanada, AptiQuant yang menguji 101,326 orang berusia 16 tahun dan ke atas dari pelbagai negara termasuk AS, Kanada, Britain, Australia serta New Zealand.

Mereka diminta mengambil ujian IQ manakala sistem operasi dan lokasi komputer mereka direkodkan menerusi alamat protokol Internet (IP).

Kajian mendapati mereka yang menggunakan IE rata-ratanya hanya memiliki IQ cuma sekadar 80.

Menurut skala IQ, kepintaran manusia normal ialah 100 manakala angka 80 dan ke bawah menunjukkan seseorang itu mengalami terencat akal.

Kajian sama mendapati pengguna sistem operasi Firefox atau Google Chrome memiliki IQ melepasi tahap normal iaitu sekitar 110.

Pengguna sistem operasi Opera atau Camino dikategorikan sebagai paling bijak dengan tahap IQ sekitar 120.

Kajian tersebut merumuskan bahawa IE masih popular dalam kalangan jutaan pengguna kerana ia mudah dan seseorang itu tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk menggunankannya.

By hAng keBun with 2 comments

Tuesday, August 2, 2011

Orang Yang DIizinkan Berbuka

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:

  • Orang yang sakit
  • Orang yang dalam musafir (perjalanan)
  • Orang tua yang sudah lemah
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

By hAng keBun with No comments

Monday, August 1, 2011

Perkara-perkara membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:

  • Makan dan minum dengan sengaja
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila (hilang akal)
  • Pitam atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.

By hAng keBun with No comments
Related Posts with Thumbnails