Dulu senyap-senyap, kini semakin terbuka. Itulah modus operandi gerakan murtad yang semakin membimbangkan umat Islam negara ini.
Mereka yang melakukannya tidak lagi menghiraukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.
Dari semasa ke semasa, kita boleh perhatikan usaha itu dilakukan dengan semakin berani. Jika dahulu, kita hanya biasa mendengar risalah dakwah bukan Islam ditinggal lari dalam bekas barang motosikal, diselit pada pengelap cermin kereta atau dalam peti surat, namun apa yang berlaku kini lebih daripada itu lagi.
Sebelum ini, kita dihadapkan dengan tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian, kemudiannya al-Kitab (Bible) dalam bahasa Melayu yang menyaksikan pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri apabila isu itu turut diheret dalam perbalahan politik.
Apa yang lebih membimbangkan apabila timbul isu anak-anak orang Islam diajar menyanyi lagu Kristian siap dengan simbolnya sedangkan mereka mempelajari semua itu di bawah program tuisyen atau tadika amal yang diberi percuma untuk keluarga miskin.
Cuba kita bayangkan apa akan jadi kepada zuriat Melayu/ Islam ini pada masa depan andainya tidak diselamatkan dengan segera?
Ramadan tahun ini amat memilukan apabila seawal hari ketiga umat Islam berpuasa, tercetus kontroversi sekumpulan orang Islam diundang berbuka puasa dalam majlis yang diadakan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memeriksa majlis itu apabila terdapat aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan orang Islam berlaku di majlis berkenaan.
Apa yang berlaku di DUMC seharusnya menyedarkan kan semua orang Islam, terutama pemimpin bahawa sesuatu yang tegas dan serius perlu dilakukan untuk menghadapi gejala yang semakin mencemaskan ini.
Namun malangnya, perbalahan politik sekali lagi tidak dapat dielakkan apabila pemimpin Islam bercakaran, saling tuduh menuduh malah ada yang mengecam Jais atas tindakannya itu.
Melihat apa berlaku satu persatu, gerakan memurtadkan orang Islam yang semakin berani ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan terancang diatur sama ada di dalam mahupun luar gelanggang politik.
Ini dipercayai setelah mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu/Islam daripada perpecahan yang berlaku, selain ruang yang terbuka apabila ada pemimpin yang menguasai negeri tertentu tidak bersikap tegas dalam hal ini demi untuk menjaga hati pengundi dan rakan parti bukan Islam.
Bagaimanapun perlu diingat, meskipun undang-undang diwujudkan termasuk cadangan Akta Murtad seperti yang dihebohkan, iman yang sebenar adalah pada hati.
Tiada guna undang-undang menghalang jika hati seseorang Islam itu sudah berpaling tadah.
Bagi gerakan misioner, meskipun undang-undang (Perlembagaan) menghalang, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab agama mereka. Sama ada mereka bermatlamat syurga, ataupun istana (politik), mereka tetap akan melakukannya meskipun ditegah oleh undang-undang.
Maka apa yang perlu ialah mengatasi semua kelemahan yang ada.
Jika miskin punca orang Islam semakin ramai murtad, usaha membantu mereka dari segi ekonomi, terutama menerusi tabung zakat atau Baitul Mal perlu ditingkatkan.
Lihat semula Bicara Isnin Sinar Harian minggu lalu di bawah tajuk muka depan ‘SUSAHNYA DAPAT ZAKAT’ bagaimana kerenah birokrasi dalam agensi pengurus zakat menjadi halangan bagi ramai orang yang memerlukan mendapat bantuan.
Begitu juga jika cinta menjadi ‘senjata’ gerakan murtad sebagaimana yang selalu disebut-sebut, sesuatu perlu dilakukan untuk memantapkan lagi akidah muda mudi Islam sebagai perisai yang boleh menegah mereka hanyut dalam gelora nafsu remaja.
Begitu juga dengan pengaruh persekitaran, usaha yang lebih jelas perlu dilakukan untuk menanganinya termasuk mengawal apa sahaja medium yang mengancam terutama yang berkaitan dengan hiburan, maksiat dan pergaulan.
Pertubuhan bukan kerajaan perlu mengetepikan motif politik, lebih ikhlas berjuang membantu golongan terpinggir,
Pemimpin politik Melayu/Islam pula dirayu supaya tahu batas berpolitik, tidak menjadikan isu agama sebagai senjata memancing undi. Apabila timbul isu seperti ini, mereka perlu kembali bersatu untuk membina bentang yang kukuh supaya Islam di tanah air tercinta ini tidak mudah runtuh.
Wednesday, August 24, 2011
Gerakan murtad semakin berani
Under: Agama
0 comments:
Post a Comment