SKUAD Olimpik negara semakin garang di Slovakia. Semalam mereka mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada siri aksi persahabatan di negara tersebut dengan menewaskan kelab Liga 1 Slovakia, Tatran Liptovsky Mikulas 2-1. Slovakia kini menduduki ranking ke-29 dunia dan pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010
di Afrika Selatan.
Pada kempen di Afrika Selatan itu, Slovakia berjaya melangkah ke pusingan kedua melibatkan 16 pasukan terbaik sebelum tewas 1-2 kepada Belanda. Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu berjaya menewaskan Bodva Moldava 1-0 pada 26 Julai lalu dan Topvar Topolcany 2-1 pada Sabtu lalu. Menurut Kim Swee, secara keseluruhannya, persembahan para pemainnya semakin menunjukkan peningkatan, namun masih banyak yang boleh diperbaiki.
"Perlawanan ini cukup sengit dengan intensiti yang cukup tinggi. Pemain telah berjaya mengawal permainan dengan baik. “Tapi pada babak kedua, kita kurang mengasak apabila pasukan lawan memberi tekanan terutama di bahagian tengah,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam. Pada perlawanan itu, dua gol skuad Olimpik negara dijaringkan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-11 dan Irfan Fazail minit ke-86 sebelum Mikulas merapatkan kedudukan menerusi tandukan Virgala Thomas pada minit ke-88.
Kim Swee menurunkan enam pemain kesebelasan bertemu Moldava iaitu Fandi Othman, Amer Saidin, Gary Steven Robbat, Zubir Azmi, Shukor Jusoh dan Irfan serta tiga pemain kesebelasan bertemu Topolcany iaitu Ferris Danial Mat Nasir, Azrif Nasrulhaq Badrul dan Hazwan. Dua lagi pemain iaitu penjaga gol, Zamir Selamat dan Syahrul Azwari Ibrahim turun buat kali pertama dalam kesebelasan utama. “Sepanjang separuh masa kedua, saya membawa masuk Izuan Solahuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor, Nazirul Naim Che Hashim, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan A. Thamil Arasu,” ujar Kim Swee. Untuk aksi keempat, skuad Olimpik negara akan bertemu kelab Hungary, Honved Budapest pada Selasa depan.
Bahan dari: Akhbar KOSMO
0 comments:
Post a Comment