|
Marilah kita memahami di mana letak duduknya tasauf dalam kerangka agama kita. Setiap Muslim perlu benar-benar memahami bahawa agama Islam itu terdiri daripada tiga rukun iaitu Islam, iman dan ihsan.
Setiap rukun saling perlu memerlukan dalam mencapai kesempurnaan al-Din (agama) seseorang manusia. Tidak lengkap agama seseorang tanpa ketiga-tiga rukun tersebut.
Pembahagian agama ini telah disebut di dalam hadis Jibril a.s yang masyhur dan panjang itu. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa dialog antara baginda SAW dan Jibril a.s adalah untuk mengajar tentang al-Din agama itu sendiri.
Dalam hadis tersebut, rukun ihsan telah dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai: Ihsan itu adalah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. (riwayat Muslim dan Imam Ahmad dalam Musnadnya)
Hadis ini menjelaskan tentang rukun-rukun dalam agama. Sangat wajarlah jika hadis ini yang sering ditekankan di tengah masyarakat agar mereka memperoleh tasawur (world view) yang lebih lengkap tentang agama.
Sebaliknya, terlalu menekankan hadis tentang bidaah akan memberi kesan yang berbeza.
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (691 H - 751 H) mensyarahkan perkataan al-Harawi di atas dengan katanya: "Asal tarekat adalah untuk menyempurnakan makrifat, melazimkan muraqabah kepada Allah dalam setiap gerak geri, hembusan nafas dan langkah sehingga hati dikuasai oleh kebenaran dan terputus darinya segala hubungan keduniaan".
Daripada sini, dapat difahami bahawa rukun ihsan itu terbahagi kepada dua tahap iaitu muraqabah dan musyahadah.
Di dalam hadis di atas, musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya), disebut sebelum muraqabah (sekiranya kamu tidak melihat-Nya, maka Allah memandang kamu).
Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan musyahadah melebihi muraqabah.
Dalam suluk atau perjalanan kerohanian tasauf dan peningkatan tahapnya atau dikenali juga sebagai makam, biasanya dimulai dengan muraqabah. Dengan berterusan atas muraqabah, seseorang itu akan diwariskan pula dengan musyahadah.
Keselarian sifat dua makam utama dalam ilmu tasauf ini dengan rukun ihsan jelas menunjukkan bahawa tasauf menempati kedudukan yang sangat asasi dalam agama kita.
Tasauf sebagai hakikat agama
Tasauf sebagai rukun ihsan juga turut diistilahkan oleh para ulama bahawa ialah adalah hakikat agama. Cuma harus diingat, penggunaan istilah hakikat di sini adalah dalam konteks yang khusus dan bukannya dengan erti sesuatu yang berlawanan dengan dakwaan atau gambaran.
Tasauf sebagai hakikat agama difahami sebagai salah satu dimensi dan rukun yang tidak terpisah dengan syariat. Hakikat dan syariat bukannya saling bercanggah sebaliknya berjalan seiringan dan saling memerlukan.
Dalam hal ini, telah masyhur kata-kata Imam Malik r.a: "Sesiapa yang belajar tasauf tetapi tidak mempelajari ilmu fikah (dan tauhid), maka ia adalah zindiq. Sesiapa yang belajar ilmu fikah (dan tauhid) tetapi tidak belajar tasauf maka ia adalah fasik, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya maka ia adalah ahli hakikat".
Golongan yang pertama dikira zindiq kerana hanya memandang kepada hakikat tanpa disertai dengan syariat.
Golongan yang kedua dianggap fasik kerana tidak masuk ke dalam hatinya cahaya ketakwaan, rahsia keikhlasan, peringatan muraqabah dan jalan muhasabah sehingga dia tidak mengenal pasti maksiat yang dilakukan.
Golongan yang ketiga menjadi ahli hakikat kerana dia mengumpulkan kesemua rukun agama; iaitu iman, Islam dan ihsan sebagaimana yang dihimpunkan di dalam hadis Jibril di atas. (Al-Muhaddith Abdullah al-Ghumari, Al-I'lam Bianna al-Tasauf min Syariah al-Islam, H: 25)
Melihat tasauf sebagai hakikat agama juga disandarkan oleh para ulama kepada hadis Muaz ibn Jabal r.a yang telah dikeluarkan Abu Nu'aim r.a di dalam Hilyah al Auliya' daripada Anas ibn Malik r.a, bahawa Muaz ibn Jabal bertemu Rasulullah SAW, maka nabi SAW bersabda: "Bagaimanakah keadaan kamu pada pagi ini, wahai Muaz?" Jawab Muaz r.a, "Aku pada pagi ini benar-benar beriman kepada Allah SWT". Sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya setiap perkataan ada tanda kebenarannya, setiap kebenaran ada hakikatnya, maka apakah tanda kebenaran yang kamu katakan?" Jawabnya, "Wahai Nabi Allah! Tidaklah aku berpagi-pagi pada setiap pagi, melainkan aku menyangka bahawa usiaku tidak sampai ke petang, dan tidaklah aku berpetang-petang melainkan aku menyangka bahawa umurku tidak akan sampai ke Subuh. Tidaklah aku melangkah dengan satu langkah melainkan aku menyangka bahawa aku tidak akan berkesempatan melangkah seterusnya dan aku seolah-olah sedang melihat sekalian umat yang sedang duduk diseru melihat kitabnya (buku catatan amalan masing-masing untuk dihisab) bersamanya ada nabinya dan berhala-berhala yang telah mereka sembah selain Allah, dan seolah-olah aku sedang melihat kepada balasan azab ahli neraka dan balasan pahala ahli syurga".
Sabda Baginda SAW, "Engkau telah mengetahuinya, maka teruskanlah (apa yang telah diamalkan oleh Muaz r.a tersebut sehingga dikurniakan nikmat yang disebutkan di atas)".
Kita mencadangkan di sini bahawa kunci kepada memahami tasauf adalah dengan mendekatinya sebagai ilmu yang menghuraikan rukun ihsan dan hakikat agama kita.
Dengan izin-Nya, kita akan mengembangkan perbincangan tentang perkara ini dengan turut mengaitkannya dengan satu lagi istilah yang sangat rapat dengan tasauf dan sering menjadi punca kekeliruan iaitu tarekat.
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
0 comments:
Post a Comment