KERETA daripada buluh? Pasti sesiapa sahaja akan pelik apabila ada yang memberitahu sumber alam semula jadi itu mampu dijadikan bahan penting dalam industri automotif negara pada masa depan.
Jika sebelum ini, kegunaan buluh terhad kepada beberapa fungsi seperti bahan perabot, kraf tangan atau rumah, sudah tentu kebolehannya menjadi bahan penting dalam industri automotif tidak dapat digambarkan.
Kereta buluh bukanlah bermaksud sebuah kereta yang dihasilkan menggunakan buluh sepenuhnya. Sebaliknya tanpa kita sedari banyak bahagian penting pada kereta terpaksa diimport dari luar negara, sedangkan Malaysia mampu tampil dengan kepakaran sendiri melalui sumber-sumber yang boleh diinovasikan termasuklah buluh.
Prototaip Bambu
Presiden Pertubuhan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI), Datuk Ghazi Sheikh Ramli berkata, buluh ialah tumbuhan rumput yang paling cepat membesar iaitu mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sahaja.
"Kajian selama satu setengah tahun mendapati kekuatan buluh adalah lebih besar berbanding kayu dan sekiranya melalui proses pengawetan yang tepat, ia mampu menjadi lebih kuat berbanding besi.
"Secara semula jadi ia juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional. Ia juga melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok tetapi memerlukan kurang air dan penyelenggaraan," katanya.
Justeru, Ghazi berhasrat mempromosikan kegunaan buluh secara optimum dalam penghasilan kereta, sejajar usaha kerajaan bagi membangunkan teknologi hijau dan juga bersempena tahun kreatif dan inovasi 2010.
"Saya mahu mengajak universiti-universiti tempatan dan para penyelidik untuk menjalankan penyelidikan bagi mengumpulkan sebanyak mungkin pengetahuan dan penemuan melalui buluh dan daripada penyelidikan itu satu hasil terbaik akan diperoleh.
"Daripada hasil-hasil terbaik itu kita dapat gabungkan dan membina prototaip yang dapat dibangun dan dikomersialkan, seterusnya menjadi satu produk yang dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Kami sudah mempunyai prototaip kereta yang diberi nama Bambu. Ia jentera yang menggunakan lima jenis buluh untuk menghasilkan beberapa bahagian dalam kereta seperti badan kereta, tayar, fabrik tempat duduk, stereng dan sebagainya," ujar beliau.
Menurut Ghazi, kelima-lima jenis buluh yang digunakan ialah buluh gading, buluh duri, buluh betung, buluh semantan dan buluh nipis. Kesemuanya ialah spesies buluh tempatan.
"Buluh-buluh ini menjalani proses pengawetan tertentu untuk dijadikan bahagian-bahagian dalaman dan luaran kereta iaitu badan kereta, skirt, spoiler, hub roda, papan muka, panel pintu, tikar lantai, stereng dan tombol gear.
"Proses menyiapkan prototaip ini dijalankan di SIRIM menggunakan kepakaran lapan jurutera dan penyelidik daripada SIRIM serta menggunakan kos sebanyak RM50,000 termasuk nilai kereta asal," katanya mengenai prototaip yang menggunakan 10 peratus bahan buluh itu.
Menurutnya, pengawetan untuk tujuan membuat prototaip ini mengambil masa selama hampir tiga bulan iaitu dengan melalui proses kimia menggunakan asid borik dan bahan-bahan lain tertentu.
"Ia juga memerlukan masa untuk proses pengeringan melalui cahaya matahari sebelum boleh digunakan untuk menyiapkan prototaip ini," katanya.
Tambahnya, setakat ini prototaip yang dihasilkan adalah sebagai contoh dan inspirasi kepada peserta yang mengambil bahagian dan kita akan melihat apakah hasil terbaik yang diperoleh daripada pertandingan ini untuk digabungkan bagi tujuan penambahbaikan prototaip sedia ada.
Kereta impian
Mahu mengangkat lagi idea kereta buluh dengan menaikkan lagi peratusan penggunaan buluh ke atas kereta Bambu, baru-baru ini MACRI melancarkan pertandingan Kereta Super Hibrid Buluh Impian Malaysia bersempena minggu kreativiti dan Inovasi 2010 bagi mencabar para penyelidik, universiti-universiti tempatan mahupun individu berkaitan bagi menghasilkan kereta menggunakan buluh.
"Ia bagi memberi idea dan petunjuk kepada peserta pertandingan bagi menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan. Kami mahu melihat berapa peratus buluh dan jenisnya dapat digunakan bagi menghasilkan sebuah kereta," jelas Ghazi.
Selain itu katanya, bukan sahaja aspek penggunaan buluh diambil kira, tetapi bagaimana ia ditransformasi menjadi produk yang mempunyai kualiti dari segi reka bentuk luaran, dalaman dan penggunaan tenaga.
"Reka bentuk luaran adalah perhatian pertama sesiapa sahaja, kemudian barulah reka bentuk dalamannya dan seterusnya fungsinya sebagai sebuah kereta yang mesra kepada alam sekitar," katanya.
Katanya lagi, beliau melihat masa depan industri automotif negara berubah sepenuhnya apabila buluh diadaptasi menjadi satu bahan penting daripada idea orang Malaysia yang mampu dibangunkan ke peringkat antarabangsa.
"Di Amerika seorang lelaki berjaya menghasilkan sebuah kereta menggunakan 90 peratus kayu, jadi tidak mustahil rakyat negara ini mampu menghasilkan kereta menggunakan buluh yang ternyata lebih kuat berbanding kayu.
"Saya juga mahu menarik perhatian pembuat kereta untuk menyokong usaha ini sekali gus mengambil hasil daripada pertandingan ini untuk dimasukkan ke dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka," katanya.
Masa yang tepat
Menurut Ghazi, usaha membangunkan buluh sebagai sumber inovasi pernah dilakukan sejak 20 tahun lalu tetapi kurang mendapat sokongan banyak pihak.
"Ikutkan sejarah, gelombang pertama pembangunan industri berasaskan buluh telah bermula pada tahun 1980-an tetapi tidak berpanjangan. Begitu juga pada gelombang kedua pada tahun 1990-an.
"Tahun 2010 adalah masa yang tepat kerana bukan sahaja kerajaan menggalakkan pembangunan teknologi hijau, tetapi perkembangan teknologi ini turut mendapat sokongan industri dan masyarakat yang mula sedar akan kepentingan memelihara alam sekitar," katanya.
Tambah Ghazi, penyerapan teknologi hijau berasaskan buluh ke atas pembangunan industri automotif hanyalah permulaan kerana masa depannya dilihat lebih jauh dari itu.
"Kita bermula dengan kereta kerana semua orang tahu dan kenal kereta. Jika dilihat secara lebih meluas, ia mampu menyumbang kepada lebih banyak industri termasuk pakaian, makanan, hiasan dalaman, pembinaan, hiburan dan perubatan.
"Selain itu, ia juga mampu membangunkan ekonomi rakyat yang pada asalnya kurang menyedari kepentingan buluh dalam menjana pendapatan mereka. Justeru, rakyat mesti bantu dan memberikan sokongan," katanya.
Tegas beliau, tidak mustahil dengan menghasilkan kereta menggunakan buluh sebagai salah satu bahan utama, harga kereta tempatan mampu dikurangkan kerana menggunakan sumber-sumber yang didapati sendiri.
"MACRI hanyalah pemangkin dan jambatan kepada usaha penyelidik untuk membawa masa depan buluh sebagai produk yang mampu diinovasikan dan menembusi pasaran.
"Dengan usaha kerajaan memberi sokongan dan fokus kepada pembangunan industri berasaskan buluh, tidak mustahil impian ini akan dicapai," katanya.
sumber dari akhbar Kosmo
0 comments:
Post a Comment