Thursday, April 15, 2010

ape ler korang nie....


selagi masih ade hayat....selagi itu lah aku mohon di beri kekuatan oleh Allah s.w.t agar terus menyanyagi anak atau kanak-kanak yang masih baru nak bernafas....


sedarlah.....anak-anak ini lah yang akan mewarisi kita pada masa akan datang dan akan mendoakan kebahagian kita di akhirat nanti.....insyaallah

Kanak-kanak patut dilindungi

KES kanak-kanak mati akibat didera berlaku lagi. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati awal pagi semalam dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya sejak sebulan lalu. Berdasarkan laporan media, doktor yang memeriksa kanak-kanak malang berkenaan menemui sekurang-kurangnya 30 kesan di tubuh dan kepala kanak-kanak tersebut.

Ekoran kematiannya, polis menahan bapa tiri dan ibu kanak-kanak itu. Kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kematian sadis kanak-kanak itu berlaku selepas kira-kira seminggu kempen Kami Prihatindilancarkan. Kami Prihatin bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya menyayangi dan menghargai bayi dan kanak-kanak.

Biarpun masyarakat tidak henti-henti mengutuk perbuatan mendera kanak-kanak setiap kali sesuatu kes dilaporkan, kes berkenaan terus berlaku. Ada yang menyifatkan mereka yang mendera kanak-kanak sebagai tidak bertamadun, tidak kurang juga yang menganggap mereka sebagai tidak sihat dari segi mental dan emosi.

Ini kerana golongan berkenaan tergamak menyeksa sehingga mati seorang kanak-kanak yang tidak mampu mempertahankan diri.

Sudah banyak peringatan yang dikeluarkan di media cetak dan elektronik dan para pemimpin masyarakat bahawa anak-anak merupakan amanah yang perlu dijaga dan bukannya objek untuk melepaskan geram atau rasa marah.

Dalam kes kematian tragis Allahyarham Syafiah Humairah Sahari yang mendapat liputan luas media beberapa bulan lalu, teman lelaki ibunya yang dilaporkan memijak dan menyepak Allahyarham sehingga mati di padang bola sudah pun dihadapkan ke mahkamah.

Sementara dalam kes Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah yang didera sehingga mati, warga Sudan yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah. Namun masih ada golongan yang belum mengambil pengajaran daripada kes tersebut.

Seperti mana kes Syafiah Humairah dan Aaliyah Aiman, kanak-kanak yang mati akibat didera kali ini disyaki didera oleh bapa tirinya iaitu individu yang rapat atau sekurang-kurangnya dikenali oleh mangsa.

Pengarah Pendidikan dan Latihan Pertubuhan Pelindung dan Penyelamat Kanak-Kanak (Protect and Save The Children atau PS The Children) Selangor dan Kuala Lumpur, Nooreen Preusser ketika dihubungi berkata, setiap individu dewasa merupakan pelindung dan perlu bertanggungjawab untuk melindungi seseorang kanak-kanak.

''Ini adalah selaras dengan Konvension Mengenai Hak Kanak-kanak 1995 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dan apabila berlaku kes kematian atau penderaan ini bermakna mereka yang terlibat gagal melaksanakan tanggungjawab dalam melindungi kanak-kanak berkenaan.

''Saya percaya ada kanak-kanak yang didera tidak kiralah dari segi fizikal, psikologi dan emosi tetapi tidak mendapat perhatian media. Mereka ini juga perlu diselamatkan," jelasnya.

Tambah Noreen, kesedaran bahawa setiap individu dewasa merupakan pelindung kepada kanak-kanak dan hak seorang kanak-kanak untuk menikmati kehidupan yang selamat perlu disebarkan sepanjang masa.

''Ada banyak faktor yang menyebabkan berlaku pelbagai bentuk penderaan ke atas kanak-kanak. Antaranya ialah perasaan seseorang dewasa yang ingin membuktikan bahawa mereka jauh lebih berkuasa dan mampu mengawal seseorang kanak-kanak itu.

''Ada juga segolongan individu dewasa yang melihat kanak-kanak sebagaimana benda atau harta lain yang mereka miliki. Golongan ini biasanya memperlakukan kanak-kanak dengan sesuka hati tanpa menghiraukan bahawa kanak-kanak seperti individu dewasa mempunyai hak, perasaan dan emosi mereka sendiri ," jelasnya.

Ketika pelancaran kempen Kami Prihatin pada 8 April baru-baru ini, masyarakat sudah dimaklumkan mengenai Talian Nur 15999 untuk melaporkan mengenai kes penderaan atau mendapatkan sebarang bantuan jika mengandung luar nikah.

Talian berkenaan perlu digunakan dengan sebaik mungkin demi membela nasib kanak-kanak daripada menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.

Semua pihak perlu peka dengan sebarang kejadian yang disyaki kes dera selain sentiasa beringat bahawa setiap dewasa bertanggungjawab melindungi seseorang kanak-kanak.

Dengan cara ini, setiap kanak-kanak di negara ini mampu mendapat hak untuk menikmati kehidupan yang selamat serta bebas dari sebarang bentuk penderaan.

By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails