Saturday, February 25, 2012

Awasi pemimpin yang hanya perguna pengikut

Baru-baru ni belia dijemput untuk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Bicara Minda....Banyak input yang diberi...antaranya....

Masyarakat terutama golongan belia dinasihatkan supaya memilih pemimpin yang ikhlas dan tidak hanya menggunakan para pengikut demi mencapai cita-cita tertentu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, para belia seharusnya memilih individu yang benar-benar mampu menjaga kepentingan masyarakat serta mempunyai nilai budi pekerti tinggi, sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul.

"Ada pemimpin dalam negara hanya menggunakan pengikut. Setengah (pemimpin) hanya nak ke Putrajaya dan bukan menjaga rakyat.

"Jadi pengikut ini (kepada pemimpin itu) hanya alat untuk dia ke situ (Putrajaya)," katanya semasa berucap pada program Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir menambah, pemimpin perlu sentiasa mengutamakan pengikut dan tidak mementingkan diri sendiri seperti dalam hal mengumpul kekayaan.

Jika gagal menjaga kepentingan pengikut masing-masing, katanya, para pemimpin itu dikira tidak melaksanakan tanggungjawab utama mereka serta akan ditinggalkan oleh para pengikut.

"Ramai pemimpin Arab lupa tugas sebagai pemimpin dengan mengutamakan kedudukan, kuasa dan kehidupan lebih mewah serta dilupakan tentang pengikut. Akhirnya selepas puluhan tahun nanti mereka dijatuhkan dan inilah nasib pemimpin yang lupa," katanya.

By hAng keBun with No comments

Thursday, February 23, 2012

Asal Bantal Kekabu


DI bawah pohon kekabu, kelihatan seorang wanita tua membongkokkan badannya sambil mengutip buah-buah kekabu yang gugur di laman rumah Musinah Sangit.

Begitulah rutin harian Musinah setiap kali tiba musim pokok kekabu yang berbuah dua kali setahun itu.

Laman rumah, jalan raya dan bendang di depan rumah berwarna putih itu dipenuhi kekabu yang berterbangan dibawa angin. Kediaman Musinah, 88, berhadapan dengan bendang yang terbentang luas di Parit 1 Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Pada usia sebegitu, anak kelahiran Sungai Besar itu masih kuat mengutip buah kekabu dan memprosesnya sambil dibantu jirannya, Mursini Mohd. Saman, 65.

Kudratnya yang gigih mengutip kekabu umpama teguhnya berdiri pokok kekabu yang berusia lebih 50 tahun di laman rumahnya. Pokok itu ditanam sendiri oleh ibu bapa Musinah.

Pasti ramai yang tidak pernah melihat rupa fizikal pokok kekabu dan buahnya secara dekat. Namun setiap rumah pasti memiliki bantal mahupun tilam kekabu.

Proses kekabu

Telahan penulis bahawa pokok kekabu di laman rumah Musinah yang togel daunnya dan hanya kelihatan buah kekabu bergayutan menunggu akhir hayatnya ternyata meleset. Setiap kali tiba ia berbuah, daun-daunnya akan luruh serentak persis pokok mati.

"Selepas habis musimnya, daun-daun akan tumbuh semula," kata Mursini sambil memberitahu pokok kekabu berbuah dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Jun selama tiga bulan.

Di Malaysia, pokok kekabu mencapai ketinggian 30 meter. Ketinggiannya boleh mencecah sehingga 40 meter di benua Amerika. Pokok kekabu tidak tumbuh liar di Malaysia dan ia berasal dari bahagian tropika benua Amerika.

Mursini sudah lebih 30 tahun membantu Musinah mengusahakan kerja-kerja memproses kekabu.

"Biasanya sehari tiga hingga empat kilogram kekabu boleh diproses. Buah kekabu yang sudah masak seelok-eloknya dipetik dengan menggunakan galah panjang.

BUAH kekabu yang berwarna kehitaman boleh dipetik.

"Petik bermaksud dahannya digegarkan atau digoncangkan dengan galah panjang supaya buah yang sudah masak akan luruh manakala yang mentah tidak akan luruh kerana masih liat," kata Mursini.

Buah kekabu yang mengambil masa tiga bulan untuk matang dikait bagi mengelakkan ia kotor jika terjatuh ke tanah. Bagaimanapun, buah kekabu yang jatuh juga boleh digunakan.

Dek tingginya pokok kekabu, galah panjang pun tidak terjangkau. Justeru, Musinah dan Mursini perlu menunggu buah kekabu yang paling atas untuk gugur sendiri.

Jika tiada buah yang gugur, buah kekabu yang berwarna kehitaman boleh dipetik. Ia kemudian dijemur di tengah-tengah panas terik sehingga kulitnya kering.

"Buah kekabu ini ada dua jenis iaitu kurus dan panjang serta besar dan bulat. Jika pokok muda, buah kekabu boleh menjangkau hingga satu hasta," ujar Musinah yang selesa membahasakan dirinya sebagai embah. Embah dalam bahasa Jawa bermaksud nenek.

Waktu yang paling baik memproses buah kekabu ialah pada awal pagi ketika cuaca dan udara masih lembap dan tidak kering. Jika dilakukan pada waktu tengah hari, gentian kekabu akan berterbangan.

Embah Musinah dan Mursini memproses kekabu secara kecil-kecilan dengan menggunakan kaedah manual tanpa menggunakan mesin.

Jari-jemari tua Musinah pantas menunjukkan cara-cara mengupas kulit dan mengasingkan biji kekabu.

Selepas dikupas, rupa kekabu kelihatan sama seperti susunan buah koko. Setiap satu bilik mempunyai satu biji.

"Dalam proses ini, empulur kekabu akan dibuang. Kekabu dan bijinya dimasukkan ke dalam bekas tong. Kemudian sejenis alat berbentuk T (penggesek) yang dibuat sendiri dimasukkan di dalam bekas tong tersebut dan proses menggesek dilakukan," jelas Mursini sambil membuat demonstrasi cara menggesek.

Dimakan tupai

Proses menggesek dilakukan bagi membolehkan gentian kekabu kembang naik ke atas manakala biji-biji kekabu akan berada di dasar bekas tong.

Sepokok buah kekabu boleh menghasilkan lebih 30 kilogram kekabu semusim yang dijual pada harga RM15 sekilogram.

Menurut embah Musinah, pokok kekabu merupakan pokok yang paling senang dijaga, tetapi buahnya yang mentah sering dimakan tupai.

Pokok kekabu boleh ditanam dengan menggunakan anak pokok, biji dan dahan yang dipangkas. Ia mengambil masa lima tahun untuk berbuah. Pokok kekabu juga ada jantan dan betina. Kalau pokok kekabu betina, walaupun rendah ia boleh berbuah berbanding pokok jantan.

Ketika ditanya mengenai cakap-cakap orang mengenai pokok kekabu menjadi lokasi langsuir bertenggek, embah Musinah hanya tersenyum sambil berkata: "Kalau betul, kenapa embah tak pernah jumpa pun?"

Jika embah Musinah memproses buah kekabu, ibu kepada dua anak iaitu Sandora Mohd. Panut, 36, pula menjual pelbagai produk yang berasaskan kekabu seperti bantal kekabu, tilam kekabu, set tilam bayi dan kusyen nikah.

BUAH kekabu yang matang dikait bagi mengelakkan ia kotor jika terjatuh ke tanah.

Sandora mula berjinak-jinak dengan perniagaan kekabu sejak tahun 2005 secara kecil-kecilan selepas melahirkan anaknya.

"Saya bermula dengan perniagaan menjual tunku bayi dan minyak sawan kemudian barulah serius menjual produk kekabu atas permintaan rakan-rakan.

"Kedai ini hanya mula dibuka pada pertengahan tahun lalu yang dibuka pada hari Selasa hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 8 malam," katanya yang turut menjual bantal kekabu di Wisma Tani, Putrajaya pada akhir bulan.

Penuhi permintaan

Sandora memberitahu, pada awal perniagaannya dia menggunakan 10 kilogram kekabu, kini penggunaannya menjangkau 10 hingga 20 kali ganda iaitu 100 hingga 200 kilogram sebulan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Berikutan itu, Sandora mendapatkan bekalan daripada pemborong tempatan dan dari negara jiran, Indonesia.

Penggunaan produk kekabu kini kian meningkat kerana sudah ramai pengguna mengetahui dan sedar akan kebaikannya.

"Saya biasanya menjual produk kekabu di karnival atau di tempat-tempat yang tidak ada orang menjual produk yang sama.

"Produk kekabu yang dijual menggunakan kain kapas kerana ia tidak panas seperti kain satin. Kebanyakan produk dijual pada harga yang berpatutan iaitu RM5 hingga RM30 bagi bantal dan RM80 hingga RM500 bagi produk tilam," katanya sambil memberitahu produk kekabu keluaran Infantia House mempunyai trademark tersendiri iaitu renda di kelilingnya.

Menurut Sandora, untuk tilam bayi bersaiz 71 sentimeter (sm) x 91 sm dia mengambil masa di antara satu hingga dua jam. Dalam sehari, dia mampu menghasil empat buah tilam bayi. Bagi tilam bersaiz King dan Queen, Sandora mengambil masa setengah hari.

Kata Sandora, ada juga pelanggan yang merungut bahawa produk yang dijualnya mahal, namun Sandora ada pandangannya sendiri.

MENURUT Musinah waktu yang paling baik memproses buah kekabu ialah pada awal pagi.

"Hari ini kekabu sukar untuk peroleh, jadi kita terpaksa menjual pada harga yang berpatutan. Saya tidak rasa kekabu mahal, kerana ia berbaloi dengan wang yang dilaburkan dan tahan lama," ujarnya yang memiliki kedai sendiri di Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar, Klang.

Bagi mengetahui sama ada bantal kekabu yang dibeli menggunakan kekabu tulen atau tidak, Sandora menasihatkan supaya tidak membeli dengan kuantiti yang banyak.

"Bantal kekabu apabila dijemur dan diketuk dengan rotan akan gebu semula kekabunya dan jika ia panas dan dimasukkan dalam plastik, plastik tersebut akan berpeluh.

"Persaingan perniagaan ini memang sengit. Namun, jika kita menjual dengan jujur dan memberikan produk berkualiti, pasti ada pelanggan tetap," katanya yang mendapat bekalan kekabu gred A dan B melalui pembekal dari Negeri Sembilan.

Dek kerana sukar mendapatkan bekalan kekabu, Sandora bercadang untuk menanam sendiri pokok kekabu dalam masa dua tahun akan datang bagi menampung bekalan kekabu.

Ditanya apakah kelebihan bantal kekabu? Jelas Sandora : "Ia lebih selesa dan sejuk berbanding serat sintetik atau span yang menyebabkan pengguna berasa panas atau berpeluh di kepala.

"Selain itu, tilam kekabu juga baik untuk mereka yang mengalami sakit belakang kerana gentiannya lembut dan semula jadi."

Kepada mereka yang berminat untuk membuat tempahan bantal atau tilam kekabu, Sandora boleh dihubungi melalui talian 019-360 3810 atau layari laman web www.infantiahouse.blogspot.com.

By hAng keBun with No comments
Related Posts with Thumbnails