Friday, May 27, 2011

Hari Belia Negara 2011-Mari kita meriahkannya

Bahang sambutan Himpunan Sejuta Belia 2011 semakin terasa apabila Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini digegarkan dengan deruman enjin 30 buah supercar dan 70 buah kereta yang diubah suai.

Kehadiran kereta yang diiringi 80 motosikal superbike, 15 jenis Harley Davidson dan 30 ‘easy rider’ dalam satu konvoi bertujuan menyemarakkan lagi sambutan program tersebut.

Konvoi berkenaan dilepaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di pekarangan Menara KBS di sini hari ini.

Turut serta dalam konvoi berkenaan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai kumpulan penunggang superbike manakala Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menunggang Harley Davidson.

Pemandu supercar pula diketuai Presiden Pemilik Kelab Supercar Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Azman Mahmud.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Shabery berkata, penglibatan pemilik kereta mewah dan motosikal berkuasa besar itu mampu mendorong golongan belia untuk mengejar kejayaan dalam hidup.

“Kereta dan motosikal berkuasa besar adalah pilihan anak muda apabila mereka mula bekerja.

“Dengan melihat sendiri kereta Ferrari, Lamborghini dan sebagainya, maka sedikit sebanyak merangsang minat mereka untuk berjaya dalam hidup agar dapat memiliki apa yang diimpikan selama ini,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, program seperti itu dapat menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sukan bermotor secara tidak langsung menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala negatif.

Beliau turut mengumumkan Mohammad Rizan Hassan dan Haslinda Ahmad sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

“Setiap daripada mereka akan menerima wang tunai RM20,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran Sabtu ini.

“Anugerah Perdana Belia Negara bagi Kategori Pertubuhan Belia pula dimenangi Persatuan Belia Kampung Duyong dari Melaka yang akan menerima RM50,000,” katanya.



Keterangan lanjut :- http://www.haribelianegara.org.my

By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails