Friday, March 11, 2011

162,180 kerja masih kosong di Malaysia

Sebanyak 162,180 pekerjaan kosong masih belum diisi daripada jumlah keseluruhan 193,739 pekerjaan yang didaftarkan dalam portal Jobs Malaysia sehingga bulan lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang didaftarkan, hanya 31,559 penempatan pekerjaan telah dibuat dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah pekerjaan yang diisi itu, sebanyak 8,477 (26.9 peratus) di peringkat pengurusan dan profesional, 2,544 (8.1 peratus) di peringkat berkemahiran, 16,168 (51.2 peratus) di peringkat separa mahir dan 4,360 (13.8 peratus) pekerja asas,” katanya ketika menjawab soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun).

Maznah berkata walaupun jumlah kekosongan pekerjaan adalah tinggi, masih ada graduan dan bukan graduan yang tidak mendapat pekerjaan disebabkan sikap memilih ataupun tempat kerja itu jauh dari penempatan mereka.

“Dalam portal Jobs Malaysia, kita dapati setakat ini lebih banyak jawatan yang lebih rendah daripada jawatan untuk graduan, kita juga menggalakkan graduan sementara menunggu untuk mendapatkan pekerjaan sesuai, dapat sekiranya mereka timba pengalaman dalam jawatan rendah supaya dijadikan asas pengalaman ketika temu duga,” katanya.

Beliau berkata kelemahan daripada segi kemampuan berkomunikasi, menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris serta tidak mendapat maklumat yang cukup tentang peluang pekerjaan, juga merupakan punca graduan masih tidak mendapat pekerjaan.

Maznah berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menambah bilangan pekerjaan untuk graduan dan berkemahiran tinggi.

Sehingga kini tahap tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini adalah 28 peratus.
“Menjelang tahun 2020, kita berharap kadar ini dapat ditingkatkan kepada 40 ke 50 peratus kerana ini dapat membantu negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Inisiatif-inisiatif di bawah transformasi yang dibuat kerajaan akan menjana lebih daripada 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020, dan sudah tentu jawatan-jawatan untuk graduan juga akan bertambah,” katanya.

Mengenai kadar pengangguran negara terkini, Maznah berkata sehingga Disember tahun lepas, kadarnya ialah 3.2 peratus yang melibatkan 391,200 orang daripada jumlah tenaga buruh berjumlah 12,059,700 di negara ini.

“Kadar pengangguran di bawah paras 4 peratus dianggap wujud keadaan guna tenaga penuh,” katanya.- Bernama

By hAng keBun with 1 comment

1 comments:

jawatan kosong diperlukan: http://hairilhazlan.com/technician-diperlukan/

Related Posts with Thumbnails