Thursday, February 17, 2011

Pengurusan jalan raya elak tragedi


ISU berhubung keselamatan jalan raya boleh ditangani secara sistematik berbanding mengubah sikap pemandu.


SATU tinjauan dalam talian baru-baru ini oleh Malaysians Unite for Road Safety menunjukkan selain faktor manusia, keadaan jalan raya juga menjadi penyumbang kepada nahas jalan raya.

Dalam tinjauan di laman www.mufors.org.my itu, 61.6 peratus daripada responden percaya faktor manusia paling banyak menyumbang kepada kemalangan sementara 15.6 peratus daripada responden menyalahkan keadaan jalan raya.

Memang benar keadaan jalan raya juga menyumbangkan kepada kemalangan. Atas sebab itulah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) tampil dengan terbitan bertema Buku Panduan bagi Audit Trafik dan Keselamatan Jalan Raya (Metra) mengesyorkan jalan penyelesaian kepada permasalahan itu.

Laporan itu adalah sebagai pelengkap kepada Garis Panduan Audit Keselamatan Jalan Raya Kementerian Kerja Raya bagi menentukan aspek keselamatan jalan raya dan projek jalan raya di Malaysia.

Para pengguna akan dapat memahami jalan yang penting bagi mereka dan mengambil tindakan perlu berhubung isu-isu berkaitan keselamatan. Metra akan membantu kerajaan tempatan, jurutera, juru audit, penyelidik serta institut pengajian tinggi untuk mengetahui lebih lanjut akan keadaan jalan raya di negara.

Ketua Pengarah Miros, Prof. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, keselamatan jalan raya bertumpu kepada tiga faktor kritikal iaitu pemandu, kenderaan dan jalan raya.

“Dengan memastikan jalan raya di Malaysia menyepadukan ciri-ciri keselamatan yang tinggi, kami dapat membantu mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya, kematian dan kecederaan dengan lebih berkesan,” kata beliau. Tambahnya, isu-isu berkaitan dengan kenderaan dan jalan raya boleh ditangani secara sistematik berbanding mengubah sikap pemandu.

Kemalangan jalan raya menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pengguna jalan raya apatah lagi angka maut yang tinggi. Jumlah besar kematian dalam siri kemalangan tunggal terutama membabitkan bas adalah sesuatu yang membimbangkan.

Kemalangan bas persiaran di Simpang Pulai, Cameron Highlands, Disember lepas yang menyebabkan 25 pelancong Thai dan dua warga Malaysia terbunuh merupakan antara contohnya.

Terbunuh dalam kemalangan

Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Asia dan Pasifik (Unescap) mendedahkan, 52,742 kes rakyat Malaysia terbunuh atau cedera dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2008 sementara Indonesia dengan bilangan penduduk 10 kali lebih daripada populasi Malaysia, hanya mencatatkan 22,702 kes pada tahun yang sama.

Adakah pemandu dan kenderaan mereka yang harus dipersalahkan ataupun jalan raya yang sedia ada tidak menepati piawaian keselamatan?

Walaupun jalan di Malaysia menepati piawaian keselamatan dunia, sebahagian daripada pengguna jalan raya masih ragu akan hakikat itu.

Antara faktor yang dibahaskan ialah sejauh manakah sesuainya reka bentuk jalan dan aspek penyenggaraannya.


KEMALANGAN bas yang mengakibatkan kematian antara kebimbangan pengguna jalan raya.


Beberapa laluan jalan di Malaysia menghadapi masalah dari segi reka bentuk dan penyenggaraan, kerosakan dan isu-isu pengurusan dalaman.

Mungkin masih segar dalam minda rakyat Malaysia siri kejadian kemalangan maut berdekatan plaza tol lama di Jelapang, Ipoh. Ia merupakan contoh baik jalan itu sendiri menjadi faktor penyumbang kepada siri tragedi di situ.

Pada tahun 2008 PLUS Expressways Berhad mereka bentuk semula laluan Jelapang dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan dan menambahbaik aliran trafik. Laluan baru itu dibuka kepada umum pada Julai 2009 dan sejak itu tiada tragedi serius dicatatkan di situ.

Metra telah mempertimbangkan faktor pengguna jalan raya dalam garis panduannya. Garis panduan itu cukup mudah digunakan. Ia juga menggalakkan lebih banyak audit bagi memastikan jalan di Malaysia selamat.

Pihak berkuasa tempatan adalah antara sasaran penting bagi Miros kerana mereka bertanggungjawab secara langsung bagi pembinaan dan pengurusan jalan raya di kawasan masing-masing. Ia juga menyumbang secara langsung bagi memastikan jalan lebih selamat untuk pengguna.

“Keselamatan jalan raya merupakan usaha kolektif dan tanggungjawab semua pihak. Soal kawasan dan bidang kuasa tidak harus timbul sehingga ia melewatkan tindakan wajar untuk memperbetulkan keadaan dan mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko,” kata Ahmad Farhan.

Penilaian senario

Bagi Metra terdapat dua jenis audit iaitu audit utama dan audit sekunder.

Audit utama meliputi faktor yang termasuk lokasi dan saiz jalan raya, konfigurasi jalan, jenis muka bumi yang terbabit, kesesuaian had laju berbanding bentuk muka bumi, pelan jalan dan geometri, jarak penglihatan, pemandangan pemandu serta kecekapan operasi dan kawalan.

Sementara itu, permukaan jalan, objek fizikal tepi jalan, reka bentuk jalan dan kehadiran kemudahan adalah antara perkara yang tersenarai dalam audit sekunder.

Metra juga meliputi pernilaian pelbagai senario seperti di persimpangan, keberkesanan lampu isyarat, kesesuaian infrastruktur motosikal dan sebagainya.

Sementara itu, isu-isu lain termasuklah menilai keperluan lorong mendaki, memasang lampu amaran serta jajaran pokok bersebelahan jalan.

Dengan pelancaran Metra pada pertengahan 2011, salinan percuma akan dihantar kepada pelbagai pihak berkuasa tempatan, ketua-ketua bahagian terpilih di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Pihak-pihak berminat boleh menghubungi Bahagian Terbitan dan Pengurusan Pengetahuan Miros di 03-8924 9200 atau faks 03-8733 2005. – Bernama

By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails