Saturday, February 6, 2010

cabaran bakal pemimpin akan datang


Jika selama ini IPT perlu menjadi seumpama kilang yang mengeluarkan tenaga kerja untuk mengisi keperluan pelbagai sektor dan yang ditekankan ialah mereka mesti mengisi peluang kerjaya, sedangkan paradigm yang ada ialah bukan sahaja keupayaan untuk bekerja dengan orang lain tetapi mereka sepatutnya berupaya pula membuka peluang pekerjaan baru.

Manakala seorang mahasiswa yang berada sama pada bengkel tersebut pula bertanya, perlukah dia mengikut set pemikiran yang ada atau boleh mempunyai cara bertindak dan corak pemikiran yang berbeza, walau pun rakan-rakan akan menyindir dan menganggapnya sebagai menongkah arus.

Sukar untuk menjawab pertanyaan seperti ini kerana mahasiswalah yang harus membuktikan bahawa apa yang dilakukannya adalah berasas dan betul mengikut ukuran dan nilai yang ada.

Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh anak-anak muda, khususnya dari dalam kalangan mahasiswa universiti hari ini. Malah dalam suasana panas angin pemilihan untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hampir di semua IPT, hal ini sewajarnya mendapat tempat dalam mengisi cakap-cakap sepanjang proses ini berjalan sehingga pembentukan MPP dilakukan nanti.

Adalah dijangkakan lebih banyak autonomi dan kebebasan melalui pelbagai ruang kepada anak-anak muda ini untuk bersuara, maka ukuran kematangan ini dapat dilihat dengan lebih jelas. Walau pun umumnya untuk mengatakan ruang bersuara itu tidak ada sama sekali dengan pelbagai kekangan, tentulah tidak wajar, namun hakikatnya itulah antara alasan yang diberi sehingga sesetengah pihak melabelkan mahasiswa hari ini dengan pelbagai tuduhan.

Hasrat untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa dan pelaksanaan Sudut Pidato sama ada atas nama apa sahaja (di USM dinamakan Randau Pemimpin), disambut dengan gembira untuk menjadi ruang yang begitu besar yang boleh diterokai oleh anak-anak muda di IPT dalam menyuarakan pandangan mereka.

Membataskan diri hanya melihat sekitar isu kebajikan sendiri, kenaikan tambang bas dalam kampus, keruntuhan moral, kebebasan tertentu, perbezaan pandangan dalam hal-hal tertentu termasuk amalan agama dan sebagainya telah diperkatakan sejak berpuluh tahun lalu tentunya agak janggal kelihatan pada masa sekarang.

Terdapat banyak lagi isu yang lebih bersifat kesejagatan (universal), kemanusiaan dan sebagainya harus mendapat tempat dengan lebih meluas dan dianalisis secara mendalam.

Isu-isu alam sekitar begitu banyak sekarang ini yang mengancam masa depan manusia, kemiskinan tegar yang berlaku di seluruh dunia, ketidakadilan sosial antara Barat dan bahagian dunia lainnya, kemusnahan alam, perubahan iklim, isu-isu kelestarian dalam tindakan dan amalan seharian serta pelbagai lagi isu harus mendapat tempat utama.

Malah, isu-isu yang berkaitan kehidupan mahasiswa sendiri yang memerlukan pemikiran dan penilaian dalam konteks sejagat harus diterokai seluas-luasnya.

Misalnya, bagaimana mahasiswa dalam membentuk serta mengubah dunia baru dalam nilai kebersamaan, meneroka peluang baru untuk masa depan, membentuk cara berfikir yang terbuka dan bersifat analisis keilmuan, berdebat dengan menggunakan hujah-hujah atau fakta yang jelas dan sebagainya.

Mahasiswa sewajarnya juga berupaya mentafsir realiti yang ada dan membentuk pemikiran politik yang berbeza dari apa yang sedia ada. Malangnya dalam banyak keadaan, corak pemikiran mahasiswa sering ditentukan oleh pihak lain seperti mana yang banyak diperkatakan.

Dalam banyak kes, kita dapat melihat corak yang lebih banyak memperkatakan tentang masalah dan menuding jari daripada berusaha memberikan pandangan tentang bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Sikap menuding jari, berdemonstrasi dan lain-lainnya dianggap sebagai sebahagian dari idealisme yang begitu lama menjadi nadi perjuangan mahasiswa. Demonstrasi dianggap satu daripada nilai kebebasan yang dikatakan perlu dalam menyuarakan pendapat. Malah, dengan sokongan pelbagai pihak tertentu, IPT dianggap sebagai mengongkong kebebasan bersuara dan memberikan pandangan.

Kebebasan bersuara hanya dapat dianggap berlaku apabila boleh mengkritik orang lain sesuka hati, mengaibkan dan memalukan orang lain dan pihak yang dikritik menerima dan melaksanakan sesuatu mengikut sudut pandangan yang disarankan oleh mereka.

Jika pandangan ditolak, maka timbullah anggapan bahawa hak kebebasan bersuara dan memberikan pendapat daripada kalangan anak-anak muda dinafikan.

Soalnya nilai kematangan inilah yang ingin kita tekankan? Adakah apabila Parlimen Mahasiswa menjadi realiti, yang dikatakan akan berlaku dalam masa terdekat, maka mahasiswa hari ini dianggap sudah bebas bersuara dan dianggap berbeza dari generasi sebelumnya walau pun isunya mungkin berkisar sekitar hal-hal yang sama.

Adakah Parlimen Mahasiswa, Sudut Pidato dan MPP sekadar menjadi wahana formaliti meneruskan pemikiran sedia ada atau mampu dijadikan landasan berkesan untuk melihat mahasiswa universiti yang berakal budi, berilmu dan matang dalam tindakan.

Namun pokok pangkalnya, sejauh mana anak-anak muda yang bergelar mahasiswa ini berupaya mengubah cara berfikir, membentuk pemikiran baru dan mencabar minda dalam mengemukakan saranan bernas untuk masa depan yang lebih bermakna kepada masyarakat, negara dan dunia seluruhnya perlu menjadi agenda utama untuk difikirkan.

Anak-anak muda yang berada di IPT hari ini harus bersedia melihat dunianya yang jauh lebih luas dari apa yang ada di sekitarnya. Amat jarang sekarang untuk mendengar mahasiswa kita bersuara dalam pelbagai isu semasa, terutamanya dalam isu yang mempunyai kepentingan sejagat.

Inilah antara cabaran untuk menguji kematangan mahasiswa masa kini untuk berfikiran jauh melalui "ombak biru" yang berbeza dari sebelumnya. Persepsi bahawa mahasiswa di IPT hanya menentang arus, lebih malang lagi jika dilabelkan mengikut anutan politik tertentu harus dikikis.

Pemimpin masa depan bukanlah sekadar bijak berkata-kata, mempunyai karisma sebagai pengucap awam yang menjadikan kita terpegun dengan pidatonya, tetapi juga mempunyai keupayaan pemikiran yang tinggi, berteraskan jati diri, kekuatan rohani dan kehebatan menganalisis secara jujur, ikhlas dan berteraskan kepada bumi nyata, bukan sahaja yang berlegar kepentingan dirinya tetapi manusia sejagat dan bumi yang didiaminya.

By hAng keBun with No comments

0 comments:

Related Posts with Thumbnails